INDONESIA – Hampir dua tahun mendirikan rumah tangga, vokalis kumpulan Seventeen iaitu Ifan dan juga isterinya sepakat melakukan kaedah persenyawaan in vitro (IVF) bagi mendapatkan cahaya mata.
Memetik laporan Insertlive, Ifan berkata ini merupakan kali kedua isterinya iaitu Citra Monica melakukan kaedah IVF itu.
“Ini kali kedua, dulu pernah buat tetapi keputusan tidak begitu baik,” katanya.
Dalam pada itu, Ifan menyangkal dakwaan dia dan isteri mempunyai masalah kesihatan untuk mendapatkan anak.
Sebaliknya dia memahami keadaan isterinya yang sudah berusia 37 tahun berkemungkinan agak sukar untuk memperoleh cahaya mata.
“Bukan ada masalah kesihatan tetapi orang perempuan kan ada had waktu dia.
“Secara kebetulan isteri saya lebih tua daripada saya jadi doktor sarankan untuk kaedah IVF supaya kesihatan ibu dan anak lebih terjamin,” katanya lagi.
Berkongsi lebih lanjut, Ifan memaklumkan bahawa bulan depan proses pengeluaran telur dan persenyawaan akan dilakukan.
“InsyaAllah kalau tiada apa bulan depan sel telur ibu dan sperma bapa akan disatukan,” kongsinya. – Agensi