Thursday, May 2, 2024
26.9 C
Brunei

    -

    IHP November 2022 menurun

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi November 2022 menurun sebanyak 0.1 peratus berbanding Oktober 2022, disebabkan penurunan indeks bukan makanan sebanyak 0.3 peratus berikutan penurunan harga tiket penerbangan.

    Walau bagaimanapun, indeks makanan dan minuman ringan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.4 peratus yang disebabkan kenaikan harga bawang merah, yang terutamanya disebabkan kekurangan bekalan dari negara-negara pengeluar berikutan cuaca yang tidak menentu.

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, seterusnya mengongsikan bahawa berbanding November 2021, IHP meningkat sebanyak 3.1 peratus.

    Peningkatan tahun-ke-tahun ini adalah selaras dengan peningkatan harga makanan dan minuman ringan, dan harga bukan makanan masing-masing sebanyak 5.8 peratus dan 2.4 peratus.

    Peningkatan harga berkenaan adalah disebabkan kenaikan harga makanan seperti minyak dan lemak 21.6 peratus; daging 12.2 peratus; dan beras dan bijirin 5.6 peratus.

    Peningkatan harga minyak dan lemak adalah selaras dengan kenaikan harga minyak masak dari negara-negara pembekal serta kos pengangkutan dan logistik.

    Peningkatan harga daging, terutamanya daging ayam adalah disebabkan peningkatan kos makanan ternakan ayam.

    Manakala peningkatan harga beras dan bijirin adalah terutamanya disumbangkan oleh kenaikan harga bahan-bahan mentah bagi kek, pastri dan biskut. Peningkatan harga komponen bukan makanan pula didorong oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 13.5 peratus; restoran dan hotel 4.5 peratus; dan pengangkutan 1.8 peratus.

    Kenaikan berkenaan terutamanya disebabkan harga insurans kenderaan yang dipenga-ruhi oleh harga pasaran kereta.

    Di samping itu, peningkatan bagi restoran dan hotel adalah selaras dengan kenaikan kos perkhidmatan katering berkontrak.

    Peningkatan bagi harga pengangkutan terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga kenderaan bermotor.

    Kenyataan menyatakan, IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP bagi November 2022 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    April bulan terpanas dalam rekod Hong Kong

    HONG KONG, 2 MEI - Hong Kong merekodkan bulan April adalah paling panas sejak rekod meteorologi bermula pada 1884, menurut pemerhati cuaca bandar itu. Suhu...