Kesempurnaan Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah merupakan teladan yang terbaik untuk menjadi ikutan para Muslim sedunia.
Ini termasuklah dari segi pengambilan makanan Baginda yang boleh dijadikan panduan dan ikutan kerana Baginda merupakan seorang yang pandai menjaga pemakanannya sehingga tidak pernah mengalami sakit perut walaupun sekali sepanjang hayatnya.
Menurut petikan dari laman internet usahawan.com yang mengongsikan beberapa tatacara pemakanan sihat yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dari segi jenis dan cara pengambilan makanan.
Susu merupakan minuman kegemaran Rasulullah SAW kerana ianya kaya dengan protein, kalsium, vitamin A dan B yang berfungsi sebagai membina tisu badan serta crucial untuk pembentukan antibodi melawan penyakit.
Nabi Muhammad SAW pernah melarang para sahabat daripada makan ikan bersama susu. Dikhuatiri akan cepat mendapat penyakit. Ini kerana kedua-dua jenis makanan ini memiliki ion yang berbeza yang apabila bercampur maka akan terjadinya tindak balas biokimia yang aktif dalam tubuh sekali gus mampu menyebabkan perut dan usus rosak dengan teruk.

Rasulullah juga melarang meminum susu bersama cuka kerana cuka boleh merencatkan penyerapan protein susu dan kemasamannya boleh menghakis perut melalui tahap keasidannya lama kelamaan boleh menyebabkan gastrik.
Rasulullah SAW tidak memakan ikan bersama daging, telur atau daun salad. Dalam Kitab Al-Quran ada melarang manusia untuk makan makanan darat bercampur makanan laut kerana sama seperti pengambilan susu dengan ayam, daging dan ikan, makanan-makan tersebut memiliki ion yang berbeza yang jika dicampurkan sistem usus dalam perut kita akan rosak. jadi, ia bakal mengundang penyakit dan membahayakan kesihatan.
Pada kebiasaannya, Rasulullah akan memakan buah-buahan terlebih dahulu sebelum makan (setengah jam sebelum makan nasi). Ini kerana buah-buahan mengandungi serat yang tinggi, jika dimakan terlebih dahulu secara automatik perut kita telah penuh dengan serat. jadi, kita tak akan makan nasi dalam kuantiti yang banyak..
Dalam pemakanan sihat Rasulullah, biasanya Baginda akan memakan bijirin seperti Habbatus Sawda’, barli dan oat. Pemakanan berasaskan bijian-bijian sememangnya berkhasiat kerana ia kaya dengan bahan phytonutrients yang mampu meningkatkan sistem pertahanan badan, menyihatkan jantung, mengawal penyakit kencing manis dan ke-gemukan melampau serta juga mampu mencegah kanser. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Al-Habbah Al-Sawda’ mempunyai ubat bagi segala penyakit kecuali mati.”
(Hadis riwayat Bukhari-Muslim)
Nabi SAW juga menggalakkan umat Islam dalam pengambilan madu yang bercampur dengan air sejuk setiap pagi. Ia mampu menghindar daripada segala penyakit. Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan banyak meminum air dengan meneguk perlahan-perlahan sambil memegang gelas dengan tangan kanan dan melarang bernafas atau menghembus ke dalam air tersebut. Hal ini kerana udara yang sengaja dibuihkan dalam air itu mungkin mengandungi kuman dan bakteria yang berbahaya kepada kesihatan.
Rasulullah SAW melarang manusia makan dengan banyak dan melampau kerana sebaiknya hanya perlu makan ketika ia lapar dan berhenti sebelum ia kenyang. Baginda SAW meminta seseorang itu untuk mengisi 1/3 daripada ruang perutnya dengan air, 1/3 dengan makanan dan selebihnya dengan ruang kosong (udara). Rasulullah SAW juga menyuruh menjamah secubit garam sebelum makan untuk menolak 70 macam penyakit dan ambil secolek lagi dengan jari manis tangan kanan setelah makan.
Oleh itu, pengambilan diet dan menghindari larangan seperti di atas yang diamalkan oleh Rasulullah SAW merupakan aturan yang baik untuk mengekalkan kesihatan dan ia telah pun dibuktikan akan kelebihannya melalui kajian sains semasa. Justeru, amalan pemakanan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW seharusnya diikuti dan dicontohi oleh semua peringkat umur demi kesihatan yang mantap, kelangsungan hidup dan penyempurnaan ibadah yang bermutu. – Agensi