Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    IMF luluskan pakej bantuan AS$50 bilion

    WASHINGTON, 21 Jun – Tabung kewangan Antarabangsa (IMF) semalam meluluskan pakej bantuan berjumlah AS$50 bilion bertujuan membantu Argentina menghadapi inflasi, defisit belanjawan dan mata wang yang lemah.

    Lembaga eksekutif tabung meluluskan perjanjian yang dicapai oleh Argentina dengan kakitangan IMF pada awal bulan ini. Argentina merancang mengeluarkan pinjaman pertama program bantuan berjumlah AS$15 bilion, yang mana separuh akan digunakan untuk belanjawan, sementara menganggap AS$35 bilion selebihnya sebagai “langkah pencegahan,” menurut IMF.

    Pengarah urusan IMF, Christine Lagarde, telah memuji rancangan Argentina untuk menjalani pembaharuan ekonomi tetapi menegaskan keputusan dibuat di Buenos Aires dan bukannya daripada tabung yang berpangkalan di Washington.

    “Kelulusan hari ini merupakan bukti jelas kepercayaan komuniti antarabangsa dalam kempen pembaharuan Argentina dan sokongan terhadap pelan ekonomi kerajaan yang disokong oleh tabung,” beritahunya kepada wartawan semalam.

    “Ia adalah satu pelan yang dicipta dan dimiliki oleh pihak berkuasa Argentina. Ia mengambil kira situasi domestik mereka. Ia bertujuan memperkukuh ekonomi demi kepentingan semua warga Argentina.”

    Gambar fail pada 14 Jun 2018 menunjukkan Christine Lagarde bercakap mengenai dapatan awal IMF dalam penilaian tahunan ekonomi Amerika Syarikat. IMF telah meluluskan bantuan berjumlah AS$50 bilion bagi membantu Argentina. – AFP

    Bantahan jalan dan mogok pekerja telah menyusuli keputusan Presiden Argentina, Mauricio Macri untuk mendapatkan pembiayaan IMF.

    Negara itu mempunyai sejarah pahit dengan pemberi pinjaman krisis global, yang dianggap oleh kebanyakan penduduk Argentina sebagai mengenakan syarat-syarat ketat yang memburukkan krisis ekonomi 17 tahun lalu.

    Lagarde berkata semalam tabung membuat pengaturan dengan Buenos Aires dengan “penuh rendah diri dan tumpuan diberikan kepada situasi domestik yang dialami oleh semua warga Argentina.”

    Tabung berkata semalam pengaturan tersebut akan menyokong usaha oleh Buenos Aires untuk mengekalkan hutang awam, mengurangkan keperluan untuk pembiayaan dan mengatasi inflasi sementara memperkukuh kebebasan bank pusat.

    “Lebih penting, pelan termasuk langkah-langkah untuk melindungi masyarakat yang paling mudah terdedah kepada ancaman dengan mengekalkan perbelanjaan sosial dan jika keadaan sosial merosot, dengan menyediakan ruang untuk perbelanjaan yang lebih ke atas jaringan keselamatan sosial Argentina,” menurut kenyataan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda