Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    IMTS 2023: Perdagangan Negara meningkat 7.9%

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan JPES

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam meningkat sebanyak 7.9 peratus tahun-ke-tahun daripada $2,287.5 juta pada Januari 2022 kepada $2,469 juta pada Januari 2023.

    Menurut Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi bulan Januari 2023 yang dikongsikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, peningkatan berkenaan didorong oleh peningkatan nilai eksport sebanyak 20.8 peratus daripada $1,312.9 juta kepada $1,586.6 juta, terutamanya disebabkan peningkatan eksport bahan api galian daripada $1,040 juta kepada $1,181.7 juta dalam tempoh yang sama.

    Peningkatan eksport bahan api galian adalah didorong oleh peningkatan nilai eksport gas asli cecair (LNG) disebabkan oleh kenaikan harga eksport sebanyak 17.4 peratus dan juga kenaikan jumlah isi padu sebanyak 15.3 peratus, serta peningkatan nilai eksport lain-lain produk petroleum, terutamanya bahan api diesel automotif, daripada $221.2 juta kepada $277.8 juta.

    Sementara itu, jumlah nilai import menurun daripada $974.6 juta pada Januari 2022 kepada $882.4 juta pada Januari 2023, terutamanya disebabkan oleh penurunan import bahan api galian.

    Dari segi komoditi eksport, bahan api galian merupakan penyumbang utama eksport Negara Brunei Darussalam iaitu sebanyak 74.5 peratus, diikuti dengan bahan kimia (21.7 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (1.5 peratus).

    Prestasi perdagangan dari tahun ke tahun bagi Negara Brunei Darussalam.
    Peratus taburan eksport mengikut rakan dagangan.

    Lima komoditi import utama pada Januari 2023 adalah bahan api galian (66 peratus), diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (12.3 peratus), makanan (9 peratus), bahan kimia (4.4 peratus), dan barang-barang keluaran kilang (4 peratus).

    Pasaran eksport utama pada Januari 2023 adalah Jepun (26 peratus), diikuti oleh Australia (16.9 peratus), dan Singapura (14.9 peratus). Komoditi eksport terbesar ke tiga-tiga negara berkenaan adalah bahan api galian.

    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia (25.2 peratus), diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (16.9 peratus) dan Republik Rakyat China (14.2 peratus), dengan bahan api galian sebagai komoditi import terbesar.

    Sebanyak 63.2 peratus import adalah digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan, diikuti oleh barangan modal (33 peratus) bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan (3.8 peratus) bagi kegunaan isi rumah.

    Bagi perubahan bulan-ke-bulan, berbanding Disember 2022, jumlah perdagangan meningkat pada kadar minima iaitu 0.02 peratus disebabkan oleh peningkatan jumlah eksport sebanyak 1.4 peratus.

    Walau bagaimanapun, ia diimbangi oleh penurunan jumlah import sebanyak 2.5 peratus.

    Peningkatan bulan-ke-bulan bagi jumlah eksport adalah terutamanya disebabkan peningkatan eksport bahan kimia daripada industri petrokimia hiliran.

    Manakala penurunan bahan kimia adalah penyumbang utama kepada penurunan jumlah import dan sebanyak 95.1 peratus jumlah perdagangan dihantar melalui pengangkutan laut.

    Ini diikuti oleh pengangkutan udara sebanyak 3.8 peratus dan melalui darat sebanyak 1.1 peratus.

    Laporan IMTS bagi Januari 2023 boleh didapati melalui laman sesawang JPES.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda