Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Para peniaga pasar malam di Gadong kini dapat menjalankan perniagaan dalam suasana lebih selesa di bangunan baru yang tersergam indah, dibina susulan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menggantikan Pasar Malam Gadong.
Pembukaan rasmi bangunan yang diberi nama Pasar Pelbagai Barangan Gadong itu, hari ini telah disempurnakan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.
Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, timbalan-timbalan menteri, ahli-ahli Majlis Ugama Islam, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin dalam ucapan alu-aluannya telah menjelaskan bahawa projek pengubahsuaian ‘Julangan Titah’ Pasar Pelbagai Barangan Gadong berkenaan merupakan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap permasalahan peniaga-peniaga di Pasar Pelbagai Barangan Gadong.
“Setentunya ini selari dengan misi kerajaan bagi membangun perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan oleh yang demikian, ini dengan sendirinya akan menyumbang kepada kemakmuran orang ramai dan kestabilan negara selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.”

Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan bahawa dengan adanya sokongan padu yang lahir daripada sifat pemedulian dan perhatian berat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, pasar yang telah diubah suai itu akan memastikan suasana jual-beli yang lebih selesa dan berharap dapat ditangani dan tidak akan timbul lagi isu-isu lama seperti kekurangan pendapatan dan persekitaran yang kurang selesa.
“Peramba kaola saya terdengar sejak pemindahan semula ke tapak yang asal, walaupun bukan di tempat yang sama, serba sedikit telah dapat meningkatkan pendapatan para peniaga-peniaga.
“Insya-Allah, lokasi yang asal berserta dengan kemudahan-kemudahan yang tersedia akan menggalakkan lebih ramai pelanggan berkunjung ke pasar ini dan setentunya akan meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga,” ujar beliau.
Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai pandangan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam mengambil kira keperluan para peniaga, bukan sahaja dari segi jasmani, tetapi juga dari segi rohani.
“Keperluan rohani juga tidak terlepas daripada pandangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan adanya peruntukan sebuah surau agar peniaga dan pelanggan tidak ketinggalan menunaikan amal ibadat.”
Yang Berhormat Pehin menyarankan, dalam urusan perniagaan, kita perlu mengingati nilai-nilai murni ajaran Islam, termasuk kepentingan menjaga kebersihan dan kesucian serta integriti.
Nilai-nilai berkenaan, menurut beliau, harus diterapkan sebagai satu amalan baik yang jelas dari segi persekitaran berniaga, penyediaan makan minum, dan tempat hidangan di pasar berkenaan.
“Amalkanlah juga nilai-nilai teras, tulus dan jujur dalam perniagaan anda, termasuk dalam memenuhi amanah dengan mematuhi syarat-syarat perjanjian yang telah dimeterai antara pihak peniaga dan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi perniagaan di pasar ini pada 31 Januari 2017,” tambah beliau.
Yang Berhormat Pehin turut menyuarakan mengenai skim yang dikelolakan oleh pihak Darussalam Enterprise (DARe), di mana seramai 16 pengusaha yang beroperasi di pasar berkenaan menerima pembiayaan kewangan melalui skim mikro kredit.
Selain skim mikro kredit, pihak DARe juga akan menawarkan ‘co-matching grant’ bagi memberikan apa-apa lagi suntikan modal tambahan.
“Setakat ini, masih ada peluang bagi 159 perusahaan untuk menerima bantuan kewangan bagi lebih menjana pertumbuhan perusahaan mereka terutamanya perusahaan ‘start-up’,” jelas Yang Berhormat Pehin.
Beliau juga memberitahu bahawa terdapat 36 peniaga graduan sarjana dan sarjana muda di Pasar Pelbagai Barangan Gadong berkenaan dan ini menurut beliau, menunjukkan bahawa orang Brunei tidak lagi memilih kerja dan berani menceburi bidang keusahawanan yang semakin diminati dan dihormati.
“Saya amat berbangga dengan graduan-graduan ini akan mula berniaga dari peringkat akar umbi dan berharap dengan pengalaman ini, mereka akan melahirkan generasi ‘entrepreneurs’ yang berdisiplin baik dan menjana ekonomi negara di masa akan datang,” tambahnya.
Sejurus selepas perasmian, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil Skim Pembiayaan Mikro Kredit dan ditutup dengan bacaan Doa Selamat.
Tetamu kehormat berserta para tetamu khas, menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang lain turun ke petak-petak jualan bagi menyaksikan barangan jualan yang ada di sana.