Tuesday, March 11, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    India temukan serpihan pesawat hilang 8 tahun lalu

    NEW DELHI, 12 JAN – India berkata hari ini ia berkemungkinan menemui serpihan pesawat pengangkutan Tentera Udara India yang hilang di laut hampir lapan tahun lalu bersama 29 orang di dalamnya.

    Pesawat Antonov An-32 buatan Rusia membawa kakitangan perkhidmatan dan enam anak kapal semasa perkhidmatan kurier rutin ke Kepulauan Andaman dan Nicobar yang terpencil di India pada Julai 2016.

    Kali terakhir ia membuat hubungan dengan kawalan trafik udara 15 minit selepas berlepas dari pangkalan tentera udara berhampiran bandar selatan Chennai.

    Usaha mencari dan menyelamat ketika itu gagal menemui sebarang kesan pesawat selepas kehilangannya.

    Kementerian Pertahanan berkata dron laut dalam yang meninjau dasar lautan di Teluk Bengal telah menemui serpihan dari pesawat yang terhempas pada kedalaman 3,400 meter sekitar 310 kilometer di selatan Chennai.

    “Imej-imej itu didapati sesuai dengan pesawat An-32”, kata kementerian itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa penemuan ‘di lokasi kemungkinan terhempas’ menunjukkan serpihan itu sebagai ‘kemungkinan milik IAF An-32 yang terhempas’ .

    Tiada pesawat lain dilaporkan hilang di kawasan itu.

    An-32 mampu terbang sehingga empat jam tanpa mengisi minyak dan merupakan pesawat pengangkut utama Tentera Udara India. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda