Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Indonesia arah kakitangan bekerja dari rumah selepas Aidilfitri

    JAKARTA, 8 MEI – Menteri Pembaharuan Pentadbiran dan Pembaharuan Birokrasi Indonesia, Tjahjo Kumolo, memberi arahan kepada semua kakitangan awam negara itu untuk bekerja dari rumah (WFH) di agensi masing-masing selepas Aidilfitri.

    Menurut portal BHOnline yang memetik laman sesawang Tribune News, WFH boleh dipohon selama seminggu selepas kemuncak aliran balik hari raya, bermula hari ini.

    “Saya bersetuju dengan pendapat Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, supaya agensi kerajaan melaksanakan dasar WFH.

    “Semua agensi kerajaan diharapkan dapat mengatur pembahagian jadual dengan teliti supaya perkhidmatan kepada masyarakat terus berjalan seperti biasa,” katanya.

    Tjahjo menegaskan, WFH tidak akan mengganggu perkhidmatan, urusan pentadbiran dan perkhidmatan kerajaan yang lain.

    Lebuh raya di Jakarta kembali sesak apabila warga Indonesia mula kembali ke bandar Jakarta selepas menyambut Aidilfitri di kampung. – AFP

    Ini kerana kerajaan sudah melaksanakan Sistem Kerajaan Berasaskan Elektronik (SPBE) yang membolehkan penjawat awam negeri bekerja tanpa sempadan ruang dan anjal menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) masa kini.

    Pelaksanaan WFH juga dianggap sebagai idea yang baik selepas kakitangan awam dan keluarga pulang dari kampung halaman.

    Memandangkan wabak COVID masih belum reda, sistem kerja dari rumah juga boleh digunakan sebagai peluang tidak langsung menjalani kuarantin diri untuk beberapa hari akan datang.

    Kira-kira 85 juta orang melakukan perjalanan, termasuk 14 juta dari kawasan metropolitan Jakarta, dengan 23 juta kereta persendirian dan 17 juta motosikal meninggalkan ibu kota.

    Indonesia adalah negara kedua paling terjejas di Asia tenggara selepas Vietnam, dengan 6,048,204 kes jangkitan COVID-19 termasuk 156,371 kematian.

    Sejak 7 Mei lalu, jangkitan koronavirus Indonesia menunjukkan trend meningkat dengan purata 80,000 kes jangkitan sehari dan sekitar 500 kematian. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...