Saturday, February 8, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia dilanda gempa 6.1 magnitud

    JAKARTA, 4 APRIL – Gempa berukuran 6.1 magnitud melanda kepulauan Sumatera di barat Indonesia kelmarin, menggegarkan rumah-rumah dan membuatkan penduduk panik namun tiada korban jiwa atau kerosakan dilaporkan.

    Pusat gempa berlaku di laut barat daya bandar Padangsidempuan di utara Sumatera dengan kedalaman 84 kilometer, menurut laporan Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

    Gempa berlaku kira-kira pukul 9:59 malam.

    Agensi meteorologi dan geofizik negara itu berkata tiada amaran tsunami dikeluarkan selepas gegaran tetapi memberitahu penduduk yang tinggal berhampiran pusat gempa untuk berwaspada kerana kemungkinan berlaku gegaran susulan.

    Media Indonesia menyatakan tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan tetapi beberapa penduduk mengongsikan bahawa rumah mereka bergegar.

    “Gempa tersebut kuat dan berpanjangan. Ia tidak seperti kebiasaan. Kali ini rumah kami bergegar,” kata Dody, seorang penduduk di Utara Tapanuli di utara Sumatera.

    Indonesia sering dilanda gempa disebabkan kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.

    Pada 21 November, gempa berukuran 5.6 magnitud melanda Jawa Barat.- AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda