JAKARTA, 20 JAN – Indonesia hari ini melancarkan platform perdagangan karbon antarabangsa pertamanya, mempelawa pelabur asing untuk turut serta, lapor Xinhua.
Bercakap di Bursa Saham Indonesia (IDX) hari ini, Ketua Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan, Mahendra Siregar menekankan komitmen institusinya untuk memudahkan perdagangan unit karbon domestik dan antarabangsa melalui ‘bursa karbon’.
Beliau menyatakan bahawa perdagangan karbon antarabangsa dijalankan menerusi Bursa Karbon Indonesia (IDXCarbon) yang menggunakan teknologi blockchain. Perdagangan karbon domestik negara itu dilancarkan pada September 2023. Presiden Pengarah IDX, Iman Rachman berkata jumlah peserta pasaran domestik telah mencecah 104 orang.
Data daripada IDXCarbon menunjukkan nilai transaksi karbon di pasaran domestik tahun lepas berjumlah kira-kira AS$12 juta.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq menekankan bahawa perdagangan karbon antarabangsa adalah sebahagian daripada strategi Indonesia untuk memenuhi sasaran iklimnya seperti yang digariskan dalam dokumen Sumbangan Ditentukan Negara (NDC). “Kerajaan Indonesia sedang berusaha mencapai sasaran NDC, antaranya menerusi pelaksanaan mekanisme nilai ekonomi karbon, termasuk perdagangan karbon,” katanya. – Bernama