Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Pemulihan ekonomi pasca pandemik pada 2022 telah menghadapi cabaran daripada konflik Rusia-Ukraine di mana ia telah membawa kepada peningkatan harga komoditi global serta mencatatkan kadar inflasi yang tinggi.
Pada masa yang sama, ia juga menyebabkan pengetatan monetari yang tajam di Amerika Syarikat (AS) di mana keadaan pasaran kewangan yang lebih ketat turut memperlahankan momentum pertumbuhan di ekonomi-ekonomi maju.
Oleh itu, prospek ekonomi bagi rantau ASEAN+3 terus dibelenggu dengan ketidakpastian dan ke arah itu, prospek berkenaan boleh disimpulkan dalam lima ulasan utama iaitu pertumbuhan akan disandarkan oleh permintaan dalam negeri, pertumbuhan eksport terus lemah, tetapi perjalanan akan menjadi titik jelas, inflasi akan menjadi sederhana tetapi kekal tinggi, ASEAN+3 akan menyaksikan pertumbuhan yang lebih tinggi pada 2023 dan risiko masih berlimpah.
Kesimpulan itu diketengahkan dalam ulasan yang dihasilkan oleh Penolong Penyelidik, Megan Chong dan Ahli Ekonomi, Catharine Kho dari Pejabat Penyelidik Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) melalui dapatan yang diperoleh daripada laporan ASEAN+3 Regional Economic Outlook (AREO) 2023 yang diterbitkan oleh AMRO, baru-baru ini.
Pertumbuhan akan disandarkan oleh permintaan dalam negeri
Rantau ASEAN+3 berkembang sebanyak 3.2 peratus pada 2022, dengan penggunaan persendirian menjadi pemacu pertumbuhan utama. Di samping itu, kadar vaksinasi yang tinggi di rantau berkenaan telah membolehkan pihak berkuasa untuk melonggarkan kawalan pergerakan dan membuka semula sempadan di mana ia telah melepaskan permintaan terpendam serta membawa kepada peningkatan dalam perbelanjaan dan pelaburan pengguna.

Melihat ke hadapan, menurut ulasan yang dibuat berkenaan, pertumbuhan dalam rantau ASEAN+3 diramal akan disandarkan oleh permintaan dalam negeri dengan pemulihan ekonomi memperoleh cengkaman.
Pertumbuhan eksport terus lemah, tetapi perjalanan (travel) akan menjadi titik jelas
Eksport barangan mula mengecut pada November 2022 berikutan aktiviti ekonomi dengan rakan-rakan perdagangan utama menjadi lembap. Pada masa yang sama, pertumbuhan eksport diunjurkan untuk terus lemah pada 2023 dengan permintaan global terus lembap.
Walau bagaimanapun, ia akan serba sedikit diimbangkan dengan pengukuhan perkhidmatan eksport terutamanya pelancongan, dengan sekatan sempadan ditarik balik di serata rantau berkenaan.
Sektor perjalanan atau pelancongan bagi rantau itu, dijangka yang melantun dengan kuat dengan banyak ekonomi mendapat manfaat daripada peningkatan jumlah pelancong luar dari China.
Inflasi akan menjadi sederhana tetapi kekal tinggi
Inflasi telah mencapai tahap yang tertinggi dalam tempoh sembilan tahun pada 2022 disebabkan peningkatan yang tajam dalam harga makanan, utiliti dan pengangkutan barangan serta perkhidmatan.
Peningkatan dalam harga domestik diburukkan dengan susut nilai bagi kebanyakan mata wang di rantau berkenaan berikutan oleh pengetatan dasar monetari yang agresif dalam ekonomi-ekonomi maju.
Inflasi dijangkakan akan menjadi sederhana iaitu daripada 6.5 peratus pada 2022 kepada 4.7 peratus pada 2023 dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan harga komoditi global.
ASEAN+3 akan menyaksikan pertumbuhan yang lebih tinggi pada 2023
Rantau ASEAN+3 diunjurkan untuk berkembang pada kadar yang lebih cepat iaitu sebanyak 4.6 peratus pada 2023 walaupun berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar.
Peningkatan itu sebahagian besarnya diterajui oleh pemulihan ekonomi dalam ekonomi-ekonomi Plus-3 khususnya China. Pertumbuhan dalam rantau ASEAN dijangka kekal kukuh pada kadar 4.9 peratus pada 2023 dengan permintaan domestik yang berdaya tahan akan serba sedikit mengimbangi permintaan global yang lemah.
Pada 2024, pertumbuhan bagi rantau ASEAN+3 diunjurkan untuk berada pada kadar 4.5 peratus.
Risiko masih berlimpah
Risiko yang paling ketara adalah kemungkinan berlakunya satu lagi kejutan kepada harga tenaga global jika krisis di Ukraine bertambah. Keadaan kewangan yang ketat juga boleh menyebabkan kelembapan ekonomi AS yang lebih tajam yang menyebabkan limpahan signifikan kepada seluruh dunia.
Di China, kelembapan berpanjangan dalam sektor hartanah mampu membebankan keyakinan pelabur dan pengguna serta menghalang pemulihan ekonomi dan mengheret pertumbuhan serantau.
Ketegangan geopolitik dan kemunculan varian COVID-19 yang lebih ganas terus menjadi risiko kepada prospek serantau.