Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Integrasi: Demi keseimbangan, kesihatan mental pelajar

    Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWN, 1 NOV – Pelaksanaan Pengintegrasian Mata Pelajaran Agama ke dalam Pendidikan Umum yang bermula hari ini, menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa, dengan ada yang bersetuju malah ada yang sebaliknya.

    Mengambilnya sebagai satu perubahan yang positif, Dayang Aizen Syamsiah binti Haji Puasa, ibu kepada empat orang anak berkata, pengintegrasian tersebut memang ada kebaikannya.

    “Kita perlu mengikut apa sahaja yang telah dilaksanakan, ini kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sedang berusaha memberikan pendidikan umum dan agama yang terbaik kepada semua pelajar, serta memberi kemudahan kepada ibu bapa dan penjaga.

    “Di sinilah ibu bapa dan penjaga juga memainkan peranan untuk menyesuaikan diri, bukan sahaja bergantung kepada pihak yang berkepentingan sahaja, manakala sekolah-sekolah yang terlibat juga memainkan peranan untuk membuat sistem terbaharu seperti penyediaan dewan, kelas dan sebagainya untuk keselesaan semua pelajar yang terlibat terutama pelajar agama darjah 1, 2 dan 3,” jelas beliau.

    Sementara itu, Haji Suhaili dari Kampung Meragang ketika dihubungi menyentuh mengenai stayback iaitu berada di sekolah bermula pukul 12 tengah hari sehingga sesi petang bermula iaitu pukul 1:30 petang.

    Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim bersama rombongan memantau pelaksanaan pengintegrasian di salah sebuah sekolah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI & YUSRIN JUNAIDI
    Dr Chin Wei Keh berinteraksi bersama guru-guru semasa lawatan berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Beliau berkata, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting untuk menyediakan tempat makan seperti kantin dan tempat rehat.

    Sebilangan ibu bapa turut sama meluah pendapat bahawa mereka cukup bersyukur jika pihak sekolah menyediakan tempat makan dan rehat untuk anak-anak mereka, ke-rana rehat yang cukup juga sangat penting untuk pertumbuhan kanak-kanak dan mengelakkan daripada tekanan yang berlebihan.

    Para ibu bapa turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan dan KHEU mengenai pelaksanaan berkenaan, yang mana ia bertujuan untuk menjaga kesejahteraan pelajar dengan mengurangkan beban kerja pelajar dan akan meningkatkan lagi keseimbangan hidup dan kesihatan mental para pelajar.

    Sementara itu, Guru Kanan Penolong Kokurikulum Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah, Awang Mohamad Sa’at bin Haji Mokim ketika ditemui pula mengongsikan langkah-langkah penting yang telah diambil pihak sekolah dalam usaha melaksanakan pembelajaran berintegrasi agama.

    “Sosialisasi kepada guru-guru telah dilakukan untuk memastikan mereka memahami konsep dan tujuan pembelajaran berintegrasi agama”.

    Selain itu, guru-guru juga telah diberikan latihan dan bimbingan berkaitan cara mengintegrasikan nilai-nilai agama dalam pengajaran mereka dan dengan sosialisasi ini juga dapat membantu guru-guru untuk mempersiapkan bahan pengajaran yang sesuai dengan pendekatan ini.

    Di samping itu, jelasnya, penjadualan yang baik juga telah diatur untuk memastikan waktu yang mencukupi diperuntukkan bagi pembelajaran berintegrasi agama.

    “Penjadualan ini mempertimbangkan keperluan mata pelajaran akademik dan juga waktu yang diperlukan untuk aktiviti-aktiviti keagamaan seperti solat, bacaan Al-Quran, atau pengajian agama,” jelasnya.

    Beliau seterusnya menambah, dengan penjadualan yang baik, pelajar akan dapat mengalami pembelajaran yang seimbang antara aspek akademik dan keagamaan.

    Selain itu, pihak sekolah juga telah menubuhkan jawatankuasa task force yang terdiri daripada guru besar, SMTs dan warga sekolah.

    Jawatankuasa itu, jelas beliau, bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan program pelaksanaan pengintegrasian dan mereka juga dapat memantau dan menilai kesan daripada pendekatan berkenaan terhadap pembelajaran pelajar.

    Katanya lagi, sosialisasi kepada ibu bapa dan penjaga juga merupakan langkah penting. Pihak sekolah juga telah menjelaskan konsep dan manfaat pembelajaran berintegrasi agama kepada ibu bapa dan penjaga agar mereka dapat memberikan sokongan yang diperlukan.

    Selain itu, sosialisasi ini juga dapat membantu ibu bapa dan penjaga untuk memahami peranan mereka dalam memperkukuhkan nilai-nilai agama dalam kehidupan harian anak-anak mereka.

    Bukan setakat itu, jelasnya, sosialisasi kepada murid-murid juga telah dilakukan untuk memastikan mereka memahami tujuan dan manfaat pembelajaran berintegrasi agama.

    “Pelajar diberikan pemahaman yang jelas tentang hubungan antara ilmu pengetahuan dan agama, serta bagaimana nilai-nilai agama dapat diaplikasikan dalam kehidupan mereka,” ujarnya.

    Ke arah memastikan persiapan logistik yang mencukupi untuk pembelajaran berintegrasi agama, tambahnya, pihak sekolah telah menyediakan bilik, kerusi meja, tempat berwuduk dan bilik solat yang memenuhi keperluan pelajar.

    Dengan adanya kemudahan yang mencukupi, pelajar dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan dengan selesa dan khusyuk.

    Beliau turut berkongsi hasil daripada lawatan Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh berserta rombongan di mana beberapa tindakan susulan telah dibincangkan antaranya mengemas kini bilik guru bagi keselesaan bekerja dan juga kesejahteraan guru.

    Selain itu, membuat penjadualan murid-murid berwuduk secara bergilir mengikut peringkat darjah dan mengadakan kempen kebersihan sekolah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...