INDIA, 31 DIS – Seorang individu dari India secara tidak sengaja memasukkan iPhone miliknya ke dalam kotak derma di sebuah kuil Hindu semasa memberikan sumbangan dan dia diberitahu telefon pintar itu kini milik dewa dan tidak boleh dikembalikan.
Bulan lalu, seorang lelaki dari Chennai mengunjungi Kuil Arulmigu Kandaswamy di Thiruporur bersama keluarganya untuk beribadah. Dia merasakan iPhone itu tercicir dari poketnya dan termasuk ke dalam kotak derma logam ketika membuat persembahan kepada dewa penaung kuil itu, lapor Oddity Central.
Lelaki yang hanya dikenali sebagai Dinesh, mencari pegawai kuil dan menjelaskan kejadian itu dan menuntut agar telefon pintarnya dikembalikan.
Namun dia terkejut apabila pegawai kuil enggan memulangkannya dengan mendakwa bahawa peraturan telah menetapkan mereka tidak boleh mengembalikan apa-apa yang diletakkan ke dalam kotak derma, dengan sukarela atau tidak sengaja, kerana ia adalah milik dewa.
Dinesh enggan berputus asa untuk mendapatkan semula telefonnya dan memfailkan aduan kepada pegawai agama Hindu dan badan derma. Dia meminta untuk dimaklumkan bila kotak derma itu akan dibuka.
Apabila kotak derma itu akhirnya dibuka pada bulan ini, dia datang ke kuil itu dengan harapan untuk mendapatkan semula telefonnya, tetapi pegawai kuil tetap dengan keputusan mereka.
Dinesh dibenarkan untuk mendapatkan semula data dari telefonnya jika dia mahu, dan Menteri Agama Hindu dan Badan Derma, Sekar Babu berkata dia akan berunding dengan pegawai kuil untuk membincangkan cara untuk memberi pampasan kepada pemilik
sebelumnya.
Kejadian itu menjadi tular dalam media sosial India, mencetuskan perdebatan mengenai keputusan kuil itu. Kebanyakan pengguna berpendapat tindakan itu tidak wajar. – Agensi