Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iqbal ke Terengganu ziarah pesakit saraf

    Susulan namanya dipetik warganet, pempengaruh media sosial dan usahawan Ahmad Iqbal Zulkefli terpanggil untuk menyertai kunjungan sebuah yayasan menziarah seorang pemuda dikenali Muhammad Hafizuddin yang diuji penyakit saraf sejak lima tahun lalu di Terengganu baru-baru ini.

    Iqbal berkata, menerusi kunjungan itu, dia bersama pihak Yayasan Ikhlas bersama sukarelawan sempat membantu mengemas rumah, membeli peralatan dapur serta katil khas untuk kegunaan kanak-kanak tersebut.

    “Sebelum bekerjasama dengan yayasan itu, nama saya turut dipetik dalam kalangan pengikut di Instagram untuk membantu adik Hafiz.

    “Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk bersama-sama menziarahi Hafiz bagi melihat keadaannya selain membantu mengecat rumah, beli peralatan dapur termasuk membeli katil khas untuk kegunaannya.

    “Saya rasa sangat sedih tetapi seronok dapat turut serta membantu. Sebagai pempengaruh, saya ada kelebihan mempunyai pengikut yang ramai dan daripada situ sebaran info sebegini dapat mensasarkan lebih ramai orang untuk tahu isu yang ada,” katanya.

    Iqbal terpanggil untuk menyertai kunjungan sebuah yayasan menziarahi pesakit saraf. – Agensi

    Sehubungan itu, Iqbal berharap lebih ramai pempengaruh atau selebriti dapat membantu mesej sedemikian selain menyeru orang ramai menderma bagi golongan memerlukan seperti adik Hafiz.

    Hafiz yang kini berusia 21 tahun mengalami masalah saraf akibat terjatuh tangga di sekolahnya ketika berusia 16 tahun.

    Sejak kejadian itu, kesihatannya terus merosot sehingga tumbesarannya terbantut selain badannya kurus kering dan mempunyai berat sekitar 10 kilogram.

    Sementara itu, pengerusi Yayasan Ikhlas, Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, pihaknya sedang menjalankan Kempen Bantu Pesakit Sihat (BPS) dalam usaha mengumpul dana bagi membiayai kos rawatan Hafiz selain beberapa pesakit lain. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda