Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Iran sambut ulang tahun ke-45 Revolusi Islam

    TEHRAN, 11 FEB – Iran menandakan ulang tahun ke-45 Revolusi Islam 1979 hari ini di tengah-tengah ketegangan yang mencengkam Timur Tengah yang lebih luas berhubung perang berterusan Israel ke atas Hamas di Semenanjung Gaza.

    Beribu-ribu rakyat Iran berarak melalui jalan-jalan utama dan dataran yang dihiasi dengan bendera, belon dan sepanduk dengan slogan pejuang dan keagamaan.

    Di Tehran, orang ramai mengibarkan bendera Iran, melaungkan slogan, dan membawa sepanduk dengan tulisan yang mengecam Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Ada yang membakar bendera AS dan Israel, amalan biasa dalam perhimpunan penyokong kerajaan.

    Perarakan bermula dari beberapa tempat, berkumpul di Dataran Azadi di ibu negara. Televisyen kerajaan menunjukkan berjuta-juta orang di kebanyakan bandar dan pekan menyertai perhimpunan di seluruh negara.

    Tentera mempamerkan rangkaian peluru berpandunya, termasuk peluru berpandu balistik, Qassem Soleimani dan Sejjil, pembawa satelit Simorgh dan dron di dataran tempat orang ramai mengambil gambar.

    Semasa sambutan itu, seorang penerjun payung, terjun dari pesawat sambil mempamerkan bendera Palestin.

    Ramai pegawai tinggi Iran menghadiri perayaan di Tehran, termasuk Presiden, Ebrahim Raisi.

    Dia berucap kepada orang ramai di Dataran Azadi dan menyeru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam ucapan yang disiarkan oleh Televisyen kerajaan, untuk mengusir rejim Zionis sambil orang ramai melaungkan, ‘Mati Israel.’ Raisi juga berkata, ‘pengeboman Gaza perlu dihentikan secepat mungkin.’ – AP

    Rakyat Iran menghadiri perhimpunan tahunan memperingati Revolusi Islam 1979 di Azadi di Tehran, Iran, pada 11 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...