Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISB raikan pelajar Tahun 13 Kohort 2024

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah meraikan pencapaian keputusan cemerlang pelajar-pelajar Tahun 13 Kohort 2024 dalam Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IB).

    Menurut kenyataan ISB yang dikeluarkan hari ini, menyatakan seorang pelajar daripada kohort berkenaan telah memperoleh 42 daripada 45 mata, manakala tiga orang pelajar mencapai 41 mata dan lima orang pelajar memperoleh 40 mata. Sebanyak 15 peratus calon daripada kohort berkenaan turut mencapai 40 atau lebih mata.

    Secara keseluruhan, Kelas Tahun 13 Kohort 2024 ISB telah mencapai purata 33.5 mata, jauh melebihi purata global 30.32. Di samping itu, kohort tersebut juga mencapai kadar lulus 98 peratus, jauh lebih tinggi daripada purata global 80 peratus.

    Diiktiraf sebagai kurikulum yang paling bernilai tinggi untuk golongan pelajar berumur 16 hingga 18 tahun oleh golongan universiti dan majikan, Diploma IB ialah program dua tahun yang mencabar dan menekankan pemikiran kritis, pembelajaran pelbagai disiplin dan pemahaman antara budaya.

    Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley berkata mereka semua amat berbangga dengan Kelas Diploma IB 2024. Keputusan bertaraf dunia yang luar biasa ini adalah berdasarkan komitmen pelajar ISB, di samping sokongan para ibu bapa dan guru-guru yang cemerlang.

    “Skor purata mata Diploma IB 2024 kami bersamaan dengan gred 4 A di peringkat A. Ini merupakan pencapaian yang luar biasa dan bukti pengajaran dan pembelajaran berkualiti tinggi di ISB. Graduan IB kami kini akan menghadiri beberapa universiti terbaik di seluruh dunia dan kami mendoakan yang terbaik untuk mereka,” ujarnya. Daripada kohort itu, setiap pelajar yang memohon ke universiti pada 2024 menerima tawaran, dengan 12 peratus tempat-tempat muktamad terdiri dari universiti-universiti 50 terbaik dan teratas di dunia, 57 peratus di 250 buah universiti terbaik di dunia dan 74 peratus di 500 universiti teratas di dunia.

    Keputusan IB yang dicapai oleh Tahun 13 Kohort 2024 menggariskan rekod prestasi ISB dalam kecemerlangan akademik dan mengukuhkan kedudukan sekolah sebagai pilihan utama untuk pendidikan IB di Negara Brunei Darussalam.

    YAM Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN ISB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda