BAITULMAQDIS, 16 JAN – Israel hari ini menuduh pejuang Hamas melanggar beberapa bahagian perjanjian gencatan senjata Gaza yang diumumkan sehari sebelumnya dan berkata kabinet tidak akan mengadakan mesyuarat mengenai perjanjian itu sehingga persetujuan penuh pejuang Hamas disahkan.
“Hamas telah mengingkari beberapa bahagian perjanjian yang dicapai dengan pihak perantara dan Israel dalam usaha untuk memeras ugut konsesi saat akhir,” kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa situasi itu mencipta krisis saat akhir.
Kenyataan itu tidak menyatakan bahagian perjanjian yang dipersoalkan.
Kenyataan tersebut turut menambah bahawa kabinet Israel, yang belum meluluskan perjanjian itu, “tidak akan bermesyuarat sehingga pihak perantara memberitahu Israel bahawa pejuang Hamas telah menerima semua unsur perjanjian.”
Perantara utama, Qatar, mengumumkan kelmarin Israel dan pergerakan Islamis Palestin, pejuang Hamas, bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza bermula Ahad, bersama pertukaran tebusan dan tahanan selepas lebih daripada 15 bulan peperangan.
Amerika Syarikat juga mengumumkan perjanjian itu, yang sebahagian besarnya mengulangi rangka kerja pelan yang dibentangkan oleh Presiden Joe Biden pada Mei 2024.
Seramai 33 tebusan Israel akan dibebaskan dalam fasa pertama perjanjian selama 42 hari, kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani. – AFP