Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Istiadat Bersuruh mulakan Istiadat Perkahwinan Diraja

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Istiadat Perkahwinan Diraja antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar telah dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang berlangsung dengan penuh adat istiadat di Dewan Persantapan, Istana Nurul Iman.

    Majlis bermula dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Yusof menjunjung anugeraha dan menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia.

    Yang Amat Mulia seterusnya menyabdakan supaya Yang Dimuliakan Pehin mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menyembahkan bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia.

    Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke majlis tersebut.
    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berangkat ke Majlis Istiadat Bersuruh Diraja di Istana Nurul Iman, kelmarin. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah semasa Istiadat Bersuruh Diraja di Istana Nurul Iman.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah semasa istiadat berkenaan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah bersama anakanda-anakanda, YAM Pengiran Muda Abdul Qawi, YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah, YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min, dan YAM Pengiran Muda Omar Ali.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong menyembahkan hasrat pinangan bagi pihak anakandanya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Persantapan, Istana Nurul Iman, kelmarin.
    YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris semasa istiadat berkenaan.
    Majlis diberkati dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

    Yang Dimuliakan Pehin seterusnya menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris
    bahawa Majlis Istiadat Bersuruh telah siap sedia.

    Setelah itu, YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris menyembahkannya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang kemudian menitahkan supaya istiadat dimulakan.

    Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim menjunjung anugeraha untuk mengadap kehadapan majlis Kebawah
    Duli Yang Maha Mulia diikuti oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong yang seterusnya berdatang sembah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyembahkan hasrat pinangan bagi pihak anakandanya.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia setelah itu bertitah bahawa Baginda berserta kerabat menerima baik hasrat tersebut.

    Majlis diberkati dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Setelah majlis istiadat sempurna dilaksanakan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menitahkan supaya majlis ditutup.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja yang lainnya kemudiannya berangkat meninggalkan majlis.

    Terdahulu, sebelum Istiadat Bersuruh Diraja diadakan di Istana Nurul Iman, majlis terlebih dahulu diadakan di Assana’, Jerudong.

    Majlis tersebut diadakan di hadapan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong, YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit dan YAM Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan.

    Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat telah menyabdakan kepada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar supaya istiadat dimulakan.

    Selesai bacaan Doa Selamat, YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim menyabdakan supaya Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar menyembahkan kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong bahawa Rombongan Bersuruh Diraja telah siap sedia.

    YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul
    Rahim kemudiannya berangkat dari majlis diikuti oleh YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit dan YAM Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan ke tempat yang ditentukan bagi menjunjung dan mengiringi DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong naik ke kenderaan khas untuk berangkat ke Istana Nurul Iman.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...