Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Majlis-majlis sempena Istiadat Perkahwinan Diraja antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar yang bermula pada 9 Januari lalu telah sampai kemuncaknya dengan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga yang berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.
Setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz menyabdakan supaya istiadat dimulakan.
Empat orang Awang-Awang masuk ke majlis untuk meletakkan Dian Empat yang sedia terpasang (bertunu) kemudiannya disusuli dengan Surat Dikir, bantal Geguling dan Pabarahan dibawa masuk oleh tiga orang Awang-Awang dan diletakkan di tempat yang ditentukan.
Majlis diserikan dengan Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban) sehingga kepada perenggan ‘Ya Habibi’, maka diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.
Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman, Yang Dimuliakan Pehin Bendahari Haji Awang Abu Bakar dan Awang-Awang kemudiannya masuk ke dalam majlis dengan membawa Anchit yang mengandungi minyak wangi-wangian dan seterusnya menyembahkan dan memberikan kepada yang hadir.
Sementara itu, Doa Dikir dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah seterusnya menyabdakan supaya majlis ditutup setelah mendapat kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Majlis turut dihadiri oleh pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman, duta-duta, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, setiausaha-setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan.
Pada majlis tersebut, semua alat perhiasan diraja diturunkan di Balai Pemajangan sebaik sahaja tembakan meriam dilepaskan.
Terdahulu pada sebelah pagi, Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga berlangsung di Assana’, Jerudong.
Berangkat ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah yang dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit, dan Yang Amat Mulia Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan.
Sejurus keberangkatan, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung ke bilik khas.
Setelah menerima sabda Duli Yang Teramat Mulia supaya istiadat dimulakan, empat orang Awang-Awang masuk ke dalam majlis untuk meletakkan Dian Empat yang sedia terpasang (bertunu).
Surat Dikir, Bantal Geguling dan Pebarahan dibawa masuk oleh Awang-Awang dan diletakkan di tempat yang telah ditentukan.
Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga dimulakan dengan Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban) dan sampai sahaja kepada perenggan ‘Ya Habibi’, maka diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 17 das.
Manakala itu, Doa Dikir dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.