Lama tidak mengambil tawaran lakonan, pelakon Izara menjelaskan punca dia kurang terlibat dengan aktiviti seni sejak enam tahun lalu.
Jelas Izara atau Izara Aishah Hisham, 33, ini kerana dia masih belum menemui naskhah dan jalan cerita yang mampu menarik minatnya.
“Saya ada sahaja terima tawaran berlakon sepanjang lima ke enam tahun itu, tetapi saya terpaksa tolak sebab kebanyakannya cerita cinta. Saya ada permintaan saya sendiri, lagi-lagi bila sudah memakai tudung ini.
“Jadinya untuk elakkan daripada menyusahkan pihak produksi, lebih baik saya tidak ambil tawaran itu. Saya ambil tawaran mengikut kepada jalan cerita dan juga bayaran,” katanya kepada mStar.
Dalam perkembangan lain, Izara akan tampil dalam satu drama arahan Erma Fatima di slot Ramadan Raya pada tahun ini.
Drama sebanyak 30 episod itu turut dilakonkan oleh Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf dan ramai lagi.
Mengulas mengenai drama itu, Izara menjelaskan dia terbuka hati untuk menerimanya kerana menceritakan mengenai perihal keluarga.
“Jalan cerita untuk drama ini best iaitu fasal keluarga dan bukan cinta. Watak saya juga mencabar walaupun hanya sokongan, kakak Erma (Erma Fatima) juga terima segala permintaan saya. Jadi saya terima,” ujarnya. – Agensi