BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Berikutan perkembangan terkini situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Buruh telah mengemas kini maklumat mengenai kaedah pengurusan bagi beberapa perkhidmatannya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, Jabatan Buruh memaklumkan bahawa kaunter perkhidmatan bagi Bahagian Kewangan dan Bahagian Lesen Pekerja Asing akan beroperasi pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 3:30 petang.
Sementara itu, bagi Bahagian Lesen Perkhidmatan Domestik, Bahagian Agensi Pekerjaan, Bahagian Pampasan, Jabatan Buruh cawangan Daerah Belait, Tutong dan Temburong, orang ramai boleh beruurusan dengan menggunakan peti permohonan (drop box). Bagi kaunter perjumpaan dan aduan, orang ramai boleh berhubung melalui e-mel info.buruh@buruh.gov.bn atau menghubungi talian hotline 2381848 dan 7298989.
Bagi sebarang pertanyaan am bolehlah menghubungi talian 2383006 atau2380256.
Kenyataan menjelaskan lanjut bahawa permohonan dan perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan bolehlah dimasukkan ke dalam peti permohonan (dropbox) yang disediakan di ruang legar Jabatan Buruh dan cawangan-cawangannya.

Waktu penghantaran permohonan adalah bermula dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 3:30 petang pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu.
Tatacara menghadapkan dan mengambil keputusan permohonan di Jabatan Buruh bolehlah diperoleh di laman sesawang Jabatan Buruh di www.labour.gov.bn. Pemohon adalah dikehendaki untuk melengkapkan permohonan dan memberikan alamat e-mel dan nombor telefon bimbit dengan betul bagi kelancaran permohonan.
Berkenaan dengan pengeluaran Resit Penyata Banci Majikan atau Pekerja 2020, resit sementara penyata banci akan dikeluarkan secara PDF melalui e-mel kepada majikan dengan tarikh mansuh penggunaan resit berkenaan selama tujuh hari dari tarikh dikeluarkan.
Resit berkenaan boleh diperbaharui tertakluk perubahan dan keadaan situasi terkini. Untuk makluman, Resit Asal Penyata Banci Majikan atau Pekerja 2020 akan disimpan dan boleh diambil setelah kaunter perkhidmatan dibuka seperti sedia kala.
Dalam pada itu, orang ramai yang hendak berurusan adalah dinasihatkan untuk sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuklah pemeriksaan suhu badan, kewajipan untuk mengimbas kod QR Jabatan Buruh melalui aplikasi BruHealth setiap kali masuk dan keluar, penggunaan penutup mulut dan hidung pada setiap masa apabila berada di dalam atau luar bangunan serta penjarakan sosial atau fizikal.