Friday, November 8, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadikan Al-Quran teman sepanjang masa

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Selaku umat berakidah, umat Islam perlu mengimbangi usaha-usaha bersifat duniawi dan ukhrawi yang mana salah satu usaha bersifat ukhrawi adalah mendampingi Al-Quran.

    Mendampingi Al-Quran ini bermakna membaca dan beramal dengan ajaran-ajarannya yang pastinya akan meraih keselamatan, tekan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa mengurniakan titah pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan ke-6, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas (ICC) hari ini.

    Baginda dalam titahnya itu mengaitkan keselamatan itu dengan tafsiran Surah Al-Maidah, ayat 16 yang menekankan bahawa dengan Al-Quran, Allah tunjukkan jalan-jalan keselamatan dan kesejahteraan kepada sesiapa yang mematuhi dan Allah mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dan Allah tunjukkan jalan yang lurus.

    “Alhamdulillah, sejak berkurun lamanya, kita di negara ini tidak pernah meminggirkan Al-Quran dan ajaran agama, malah kita selamanya bersuluh dengan Al-Quran dan agama sehingga datanglah petunjuk Allah kepada kita untuk memartabatkan Islam sebagai agama rasmi negara.

    “Ia adalah bukti bahawa menghayati Al-Quran dan ajaran-ajaran Islam sudah menjadi darah daging kita orang-orang Brunei.

    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan piala kepada johan qari dan qariah, Awang Muhammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri pada majlis musabaqah Al-Quran peringkat akhir yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengurniakan titah pada majlis berkenaan. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir.

    “Mengapakah ini menjadi kemestian bagi kita? Kerana Al-Quran dan Islam adalah cahaya yang mampu untuk menerangi segalanya, termasuk mampu untuk melindungi kita dan negara daripada anasir-anasir perosak sama ada anasir itu nampak mahupun tidak nampak,” tekan Baginda.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia memberi contoh antara anasir yang tidak nampak adalah seperti musuh dalam selimut dan makhluk daripada kalangan jin dan syaitan.

    Menyentuh mengenai tema musabaqah, ‘Berteman Al-Quran Sepanjang Zaman, Baginda menegaskan bahawa maksud berteman dengan Al-Quran itu tidak lain daripada menjadikannya sebagai pendamping untuk dibawa ke mana saja, dibaca dan diamalkan pengajarannya sehinggalah kita dapat menunggu keberkatan dan syafaat daripadanya.

    Jika ia berlaku, maka, barulah dapat dianggap sebagai tercapai maksud berdamping dengan Al-Quran itu, tegas Baginda.

    Sehubungan itu, Baginda menyeru pihak yang mencipta tema musabaqah akan dapat menghurai dan memahami perkara itu kepada umum untuk dihayati, bukannya setakat mengungkapnya di atas kertas sahaja.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengucapkan tahniah kepada johan qari dan qariah serta peserta yang berjaya ke peringkat akhir pada tahun ini.

    “Menang dalam musabaqah bukanlah matlamat utama tetapi memperdengarkan bacaan yang baik adalah lebih mustahak untuk diberikan perhatian,” tekan Baginda Sultan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda