Saturday, October 26, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaga adab semasa bekerja di pejabat

    Salam sejahtera kepada sidang pengarang dan para pembaca budiman ruangan khas ini, izinkan aku untuk berkongsi perkara yang asyik mengganggu fikiranku dalam dua minggu kebelakangan ini, di mana di pejabat aku ada sekumpulan belia yang baru-baru ini diterima bekerja.

    Memang tidak dinafikan belia-belia ini bertenaga, penuh idea baharu, lebih terbuka dan mampu menyumbang ke arah kemajuan syarikat kami. Maklumlah, idea orang muda ni kadang-kadang boleh bawa arah inovasi yang tidak pernah kita jangkakan. Mungkin tu juga salah satu sebab ketuaku menghargai mereka.

    Tapi, yang aku hairan, kadang-kadang bahasa dorang ni kasar. Kadang macam tidak peduli dengan persekitaran tempat kerja. Ada masa aku terdengar mereka mencarut, berbual hal-hal yang kurang sopan, seolah-olah tidak menghormati orang-orang yang ada di sekeliling.

    Aku jadi kurang selesa bila dengar tutur kata yang macam atu. Rasanya, rasa hormatku terhadap mereka pun sedikit berkurang, sebab aku jadi kurang yakin dengan sikap mereka di pejabat.

    Aku tidak tahu sama ada mereka sedar itu salah atau tidak, atau dorang memang tidak peduli. Mungkinkah mereka fikir orang lain tidak dengar? Atau mungkin jua pekerja yang lain sengaja pekakkan telinga, cuba buat tidak nampak?

    Foto Canva

    Padahal, tempat kerja ni kan tempat di mana kita seharusnya bersikap profesional. Aku selalu ingat, orang muda ni perlu lebih berdisiplin, menjaga percakapan dan tahu di mana mereka berada.

    Natijahnya, kita ini selaku orang Brunei, sudah sewajarnya diajar sejak dari kecil lagi dengan nilai budi bahasa. Lain jua rasanya kalau mereka tidak ikut prinsip Melayu Islam Beraja yang kita banggakan. Tambahan lagi, apa yang kita cakapkan ni mencerminkan siapa kitani sebenarnya.

    Untuk belia-belia di luar sana, harapnya sama-sama kita jaga bahasa, jaga kelakuan.

    Jangan sampai cara kita bercakap itu buat orang lain hilang hormat. Lagipun, mereka tidak tahu, bila orang kurang hormat pada mereka, peluang untuk maju dalam kerjaya pun akan terjejas.

    Kalau ada orang yang pernah rasa hal yang sama, aku harap dapatlah berkongsi pendapat abiskita atu di ruangan ni – tidak jua salah kan untuk saling menasihati.

    Insan Tersakiti

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih Insan Tersakiti kerana berkongsi dengan pembaca. Sememangnya sikap segelintir yang tidak menghormati orang lain dengan percakapan kurang sopan boleh mengganggu persekitaran kita.

    Seperti yang dikatakan di atas, kita seharusnya mempamerkan sikap profesional semasa bekerja dengan mempamerkan kerja yang berkualiti di samping menjaga tingkah laku termasuklah cara berkomunikasi dengan sesiapapun sewaktu bekerja.

    Namun jika rakan sekerja awda bercakap perkara yang buruk atau suara yang terlalu tinggi sudah pasti sedikit sebanyak boleh mengganggu produktiviti syarikat dan memerlukan tindakan. Antaranya adalah mungkin dengan menggunakan headphone atau berpindah ke ruang kerja yang lain untuk kurangkan gangguan.

    Penyelia atau pihak yang lebih berkuasa boleh diajak berbincang untuk mengatasi perkara ini.

    Sekiranya persekitaran yang dikhuatiri boleh mengganggu suasana positif di tempat kerja, pihak bertanggungjawab seharusnya mengambil tindakan untuk mengekalkan sikap hormat dalam persekitaran tempat kerja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda