JAKARTA, 12 OKT – Jakarta bakal menambah bilangan bas elektrik secara berperingkat bagi mengurangkan pencemaran udara, selain terus menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, lapor Agensi Berita ANTARA.
“Rancangan untuk menggantikan bas konvensional dengan bas elektrik akan dilaksanakan bagi meminimumkan pencemaran udara,” kata Pemangku Gabenor Jakarta Heru Budi Hartono dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa ini, bas rapid transit TransJakarta telah mengendalikan sekurang-kurangnya 52 bas elektrik.
Langkah lain yang turut dilaksanakan bagi menangani kesesakan lalu lintas, seperti melaraskan semula masa kitaran lampu isyarat untuk mengurangkan masa menunggu, menguruskan tempat letak kenderaan, serta mengutamakan pengguna pejalan kaki dan basikal.
Hartono berkata pihaknya terus berkoordinasi dengan kerajaan pusat dan pihak berkepentingan berkaitan untuk mengintegrasikan mod pengangkutan awam di Jakarta bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam. – Bernama