Selaku pengguna jalan raya, saya melihat jalan-jalan raya kita masih belum di tahap yang memuaskan, ini kerana masih ada lagi jalan berlubang dan tampalan asfalt pada permukaan jalan di sana-sini.
Begitu juga, semasa mengunjungi sebuah hospital, penulis berasa terkejut kerana jalan yang berlubang masih belum diperbaiki walaupun aduan telah dibuat sekian lama.
Keadaan itu bukan sahaja mengundang ketidakselesaan, tetapi juga mencerminkan ketidakprihatinan pihak tertentu terhadap kemudahan asas yang sepatutnya disediakan dengan baik.
Lubang-lubang di jalan, permukaan yang tidak rata dan jalan yang sempit membuatkan pengguna terpaksa memperlahankan kenderaan seolah-olah mengharungi halangan.
Situasi itu mengundang pelbagai masalah, termasuk kesesakan lalu lintas, risiko kerosakan kenderaan dan tayar serta tekanan kepada mereka yang perlu mendapatkan rawatan segera di hospital berkenaan.
Sepatutnya infrastruktur di kawasan hospital perlu teratur dan selamat, agar urusan pesakit lebih mudah.
Lebih memburukkan keadaan, tempat letak kereta juga terhad sehingga janji temu untuk berjumpa doktor tersasar dari masa yang ditetapkan.
Saya berharap pihak berkuasa mengambil langkah segera untuk memperbaiki keadaan jalan di tempat tersebut.
Selain itu, pihak berkenaan perlu mempertimbangkan untuk menambah bilangan tempat letak kereta bagi memenuhi keperluan semasa yang semakin meningkat.
Andy