Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Jalin kerjasama demi kemampanan pelancongan ASEAN

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pelancongan ASEAN (M-ATM) ke-27 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bersempena dengan Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2024 yang berlangsung di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos pada 23 hingga 26 Januari.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, turut menyertai delegasi berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab serta pegawai-pegawai dari Jabatan Kemajuan Pelancongan.

    Mesyuarat M-ATM ke-27 telah mendahului Mesyuarat Organisasi Pelancongan Kebangsaan ASEAN ke-59 ( NTOs) dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan dengan Rakan-rakan Dialog.

    Mesyuarat yang membawa tema Quality and Responsible Tourism-Sustaining ASEAN Future itu mengetengahkan pentingnya untuk menjalinkan kerjasama erat dalam kalangan negara anggota ASEAN dalam semua sektor relevan untuk memastikan kemampanan dan daya tahan pelancongan ASEAN.

    Berdasarkan kepada perangkaan awal bagi 2023, ASEAN telah menyaksikan pertumbuhan 153.09 peratus tahun-ke-tahun dalam ketibaan antarabangsa.

    ATAS & BAWAH : Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menghadiri mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KSSUP
    GAMBAR SERAHAN KSSUP

    Mesyuarat itu juga mengambil maklum bahawa 76.6 peratus aktiviti di bawah Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) 2016-2025 telah dilaksanakan. Mesyuarat menggalakkan negara anggota ASEAN untuk terus melaksanakan aktiviti di bawah ATSP 2016-2025 seperti yang dirancang.

    Berkenaan dengan perkembangan ATSP pasca 2025, mesyuarat telah bersetuju untuk menugaskan NTOs ASEAN supaya mula merangka pelan strategik susulan pada 2024 dengan konsultasi bersama semua pihak berkepentingan relevan termasuk badan-badan sektoral ASEAN yang lain, sektor swasta dan akademia.

    Mesyuarat juga menekankan bahawa pelan strategik pasca-2025 perlu selaras dengan dokumen-dokumen susulan kepada Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025.

    Mesyuarat juga menyatakan penghargaan kepada Filipina bagi menerajui pembangunan ATSP pasca-2025.

    Di samping itu, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ke arah mengukuhkan daya saing pelancongan ASEAN termasuk kejayaan melancarkan dua kempen pemasaran pada 2023 iaitu imagin-ASEAN dan intra-ASEAN Tourism Recovery Campaign.

    Mesyuarat turut mengambil maklum akan strategi-strategi ke arah memajukan sumber manusia dalam sektor pelancongan seperti menyediakan profesional Pelancongan ASEAN dengan latihan yang bersesuaian, penilaian dan persijilan, kemahiran dan pengetahuan terkini untuk memastikan mereka kekal relevan serta dapat menyesuaikan diri kepada perubahan industri.

    Manakala itu semasa Mesyuarat Pelancongan ASEAN-Plus Three, para menteri yang bersidang menekankan pentingnya untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja pelancongan serta melengkapkan mereka dengan peralatan yang berharga termasuk teknologi digital bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri kepada kaedah-kaedah baharu untuk melakukan perniagaan dalam sektor pelancongan.

    Mesyuarat juga merakamkan penghargaan kepada Pusat ASEAN-China (ACC), Pusat ASEAN-Jepun (ASJ) dan Pusat ASEAN-Korea (AKC) atas sokongan berterusan mereka
    dalam mengukuhkan kesalinghubungan antara penduduk dan kefahaman kebudayaan melalui pelbagai aktiviti dan projek.

    Sementara itu, semasa Mesyuarat Pelancongan ASEAN-India, sidang menteri bersetuju untuk meneroka projek-projek bersama bagi mempromosi pelancongan dalam ASEAN dan India dengan mengambil maklum akan Pelan Tindakan bagi Pembangunan Pelancongan Mampan dalam ASEAN serta Pelan Tindakan Goa bagi Pelancongan yang telah dipersetujui semasa Mesyuarat Menteri-menteri G20 yang berlangsung di Goa, India.

    Bagi mempromosikan pertukaran kebudayaan, kesalinhubu-ngan dan hubungan penduduk, mesyuarat juga bertukar-tukar pandangan mengenai cara untuk meningkatkan program pembangunan kapasiti ASEAN-India bagi agensi-agensi pelancongan ASEAN yang akan memberikan pandangan yang relevan mengenai budaya India serta keperluan pelancong-pelancong India.

    Dalam Mesyuarat Pelancongan ASEAN-Pesekutuan Rusia, sidang menteri mengesahkan komitmen untuk menyokong perkembangan ke arah pelancongan mampan dalam ASEAN dan Persekutuan Rusia serta mengukuhkan kerjasama bagi pertumbuhan mampan dan inklusif bagi memastikan pelancongan memberikan manfaat kepada masyarakat meluas.

    Bagi mempromosikan lagi hubungan penduduk, mesyuarat itu juga menyokong cadangan projek bagi mempromosikan destinasi-destinasi yang kurang diterokai yang diterajui oleh Negara Brunei Darussalam yang berhasrat untuk mempromosikan tawaran-tawaran produk pelancongan baharu dan terkini serta juga pelbagai tarikan destinasi yang kurang dikenali dan kurang diterokai kepada pelawat-pelawat ASEAN dan Persekutuan Rusia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...