Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sentiasa bersihkan hati untuk menghadap Allah

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Majlis Malam Munajat kali ke-122 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan telah dianjurkan secara fizikal malam tadi, dengan tumpuan utama di Masjid Kampung Salambigar, Daerah Brunei dan Muara.

    Hadir pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Kemudian diikuti dengan bacaan Zikir Al-Maghfirah Wa Al-Rahmah beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, Tenaga Pengajar Institusi Khas, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Ahmad Syuja’iee bin Begawan Mudim Haji Matassim dan diteruskan dengan bacaan Doa Munajat oleh Pegawai Buhuth Kanan, Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Pengiran Haji Zamiri bin Pengiran Haji Jamaludin.

    Majlis minggu ini diserikan dengan tazkirah bertajuk Penyucian Hati yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Jabatan Urusan Haji, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.

    Beliau antara lain menekankan, manusia wajib sentiasa menyucikan hati, bersihkan hati demi untuk menghadap Allah SWT, dalam meniti perjalanan hidup di dunia fana ini dan sentiasa muhasabah dengan memperbanyakkan berdoa.

    Bersama mengimarahkan majlis berkenaan ialah warga Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi di bawahnya, KHEU dan JMK, tenaga pengajar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri ’Azemah Ni’matul Bolkiah, Kampung Mentiri, ahli-ahli ahli jawatankuasa takmir masjid dan jemaah Masjid Kampung Salambigar serta orang awam.

    Ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari 68 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara turut menyemarakkan majlis perhimpunan Malam Munajat berkenaan.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menghadiri program Malam Munajat di Masjid Kampung Salambigar, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...