Tuesday, November 26, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jamal Abdillah hilang ‘abang’

    Datuk Jamal Abdillah ralat tidak berpeluang bertemu Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab biarpun sudah berhajat menziarahi komposer yang bertanggungjawab memperkenalkan namanya di persada muzik tempatan sejak era 1970an.

    Jamal berkata, beliau mahu menziarahi Allahyarham Ahmad Nawab di kediamannya, semalam, namun, dinasihatkan agar tidak berbuat demikian berikutan keadaan arwah yang lemah.

    “Dua hari lalu, saya hubungi anaknya, Ismail. Saya nyatakan hasrat mahu menziarah arwah, kelmarin. Tetapi Ismail nasihat biarlah dahulu kerana ayahnya baru keluar dari Institut Jantung Negara (IJN).

    “Kalau tidak, dapatlah jumpa arwah semalam. Hari ini saya berada di Johor. Tetapi, saya akan pergi ke majlis pengebumiannya.

    “Rasa ralat tidak dapat jumpa semalam. Saya memang sudah rasa hendak jumpa beliau, tiba-tiba dimaklumkan khabar sedih hari ini. Memang sedih,” katanya.

    Jamal mahu menziarahi Allahyarham Ahmad Nawab di kediamannya, namun, dinasihatkan agar tidak berbuat demikian berikutan keadaan arwah yang lemah. – mStar

    Allahyarham Ahmad Nawab dilapor meninggal dunia di kediaman di Taman Melewar, Batu Caves pada jam 3:15 semalam.

    Berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuh, Ahmad Khan Nawab Khan itu disahkan cucunya, Khairul Hafis Khan, lapor BH Online.

    Jamal menganggap Allahyarham Ahmad Nawab tidak ubah seperti abang.

    “Arwah lemah lembut dan kurang bercakap. Tetapi, lagu-lagunya mekar hingga hari ini. Kebanyakan peminat mahukan saya nyanyikan lagu-lagu arwah cipta.

    “Arwah seperti abang buat saya, beliau dekat dengan saya. Kalau pergi rakaman pun, rasa selesa dan akrab dengannya.

    “Arwah banyak mengajar daripada segi penyampaian. Beliau individu yang mahukan kesempurnaan. Beliau jaga semuanya dan saya banyak belajar daripada arwah,” katanya.

    Jamal berkata, kali terakhir bekerjasama dengan arwah adalah menerusi Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab yang dianjurkan syarikatnya, Binjamal Event dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Istana Budaya, kira-kira dua tahun lalu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda