Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Jangan sia-siakan masa, umur

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Masa sangat berharga dan ia berlalu dengan pantas tanpa disedari, sebab itu ia perlu dihargai dan digunakan dengan sebaiknya kerana jika tidak dimanfaatkan, ia akan menyebabkan manusia berada dalam kerugian.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Menghargai Masa dengan Sebaik-baiknya’ seterusnya menegaskan bahawa tidak semua manusia memanfaatkan kesempatan umur yang diberikan Allah dengan sebaiknya.

    “Mereka lalai daripada mentaati dan menjalankan perintah Allah serta laranganNya dan lalai daripada melakukan amal kebajikan.

    “Setiap hari umur hanya dihabiskan untuk melakukan perkara yang sia-sia, apatah lagi jika umurnya digunakan untuk melakukan perkara maksiat, mereka itu benar-benar termasuk dalam golongan yang rugi,” tekannya.

    Allah SWT menerangkan, manusia itu sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara iaitu beriman, melaksanakan amal soleh, berpesan-pesanan kepada kebenaran dan kesabaran.

    Khatib menjelaskan, kita hendaklah menghargai, memanfaatkan dan tidak membiarkan masa berlalu dengan sia-sia. Ini kerana di akhirat kelak, semua akan ditanya adakah kita telah menggunakan pemberian atau nikmat yang dikurniakan Allah dengan sebaik-baiknya.

    Orang yang bijak mengurus dan menggunakan masanya dengan mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya dan membuat amal perbuatan yang baik serta melakukan perkara berfaedah, katanya, mereka inilah orang yang beruntung dan berjaya dalam kehidupan di dunia apa lagi di akhirat.

    “Manakala orang yang lalai dan membiarkan masa berlalu dengan begitu saja tanpa mengisi masa dengan melakukan perkara yang bermanfaat dan berfaedah sehingga meninggalkan dan melalaikan kewajipan yang diperintahkan Allah, mereka itulah orang yang rugi,” ujar khatib.

    Khatib seterusnya mengingatkan supaya sentiasa beringat dan memanfaatkan masa kerana waktu yang berlalu, tidak akan kembali lagi. Dalam menjalani kehidupan sehari-hari, kita sering merasakan masa itu berlalu dengan cepat sehingga terdapat segelintir daripada kita yang tidak mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan keperluan dan kehidupan seharian.

    “Masa atau waktu yang berlalu dengan pantas termasuk dalam tanda-tanda hampir berlakunya hari kiamat,” tegasnya.

    Orang yang tidak tahu menghargai dan memanfaatkan masanya pada masa di dunia ini, kelak akan menyesal di akhirat. Dalam Al-Quran ada menyebutkan, manusia akan menyesal pada dua keadaan iaitu pada saat ajal sudah hampir tiba yang mana pada saat itu manusia akan berdoa dengan penuh harapan ke hadrat Allah supaya usia mereka dipanjangkan untuk membolehkan memperbaiki diri akan tetapi Allah tidak akan menangguhkan kematian seseorang itu apabila sudah sampai ajalnya.

    Yang kedua, di akhir kelak, seisi ahli neraka memohon supaya mereka dikembalikan semula ke dunia supaya mereka dapat berbuat amal soleh, akan tetapi masa untuk merayu sudah habis tempohnya.

    “Allah tidak lagi menerima sebarang rayuan kerana pada masa itu, hanya untuk masa perhitungan dan hari pembalasan,” tegasnya.

    Sehubungan itu, khatib menyeru untuk sama-sama mengerjakan dan mengurus masa dengan baik dan penuh bijaksana. Penuhilah segala ruang dan masa dengan sebaik-baiknya dengan kegiatan dan aktiviti yang positif dan produktif yang memberikan manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

    “Gunakan masa hidup dengan semaksimum untuk perkara-perkara positif khususnya menjalankan misi utama diciptakan ke dunia iaitu beribadah kepada Allah,” tambahnya.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...