Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaringan Mings lonjak Villa

    LONDON, 26 APRIL – Aston Villa melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Fulham 1-0 semalam manakala Leeds dan Leicester seri 1-1 dalam pertarungan mengelak daripada zon penyingkiran.

    Villa kini tidak tewas 10 perlawanan dalam misi mara ke Eropah susulan kebangkitan hebat sejak Unai Emery memimpin kelab itu.

    Tyrone Mings menjaringkan gol tunggal di Villa Park selepas pemain England itu menanduk masuk sepakan sudut John McGinn pada minit ke-21.

    Jaringan itu sudah mencukupi buat skuad Emery memintas Tottenham dan kini lima mata di belakang kelompok empat teratas namun beraksi lebih perlawanan berbanding Newcastle dan Manchester United dalam pertarungan memburu tiket Liga Juara-Juara musim depan.

    “Kami dalam posisi Europa (Liga). Masih sukar tetapi selepas kemenangan ini kami akan terus berusaha dan tak mustahil dicapai,” kata Emery yang menjuarai Liga Europa empat kali sebagai jurulatih Sevilla dan Villarreal.

    “Masih ada Liverpool, Tottenham and Brighton menunggu dan kami akan berjuang habis-habisan tetapi dengan setiap kemenangan kami peroleh, ia memberikan kami keyakinan dan peluang ke saingan Eropah.”

    Sementara itu, Leeds dan Leicester masih belum boleh menarik nafas lega apabila masing-masing gagal menjarakkan diri daripada zon penyingkiran selepas berkongsi mata di Elland Road.

    The Foxes yang menang kali pertama sejak Februari ketika menentang Wolves Sabtu lalu hampir mendapatkan gol pendahuluan hasil rembatan Youri Tielemans namun dibatalkan selepas Boubakary Soumare terlebih dahulu ofsaid.

    Bagaimanapun, Leeds yang lebih menguasai separuh masa pertama mendapat gol pertama hasil tandukan Luis Sinisterra minit ke-20 selepas mendapat hantaran daripada Jack Harrison. – AFP

    Aksi Tyrone Mings semasa menjaringkan gol dalam perlawanan di antara Aston Villa dan Fulham di Villa Park di Birmingham, England pada 25 April 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda