ARAB SAUDI, 8 JULAI – Ratusan ribu jemaah haji mula berwukuf di Arafah awal pagi ini bagi menyempurnakan satu daripada enam rukun haji.
Jumlah kehadiran berkenaan adalah tertinggi selepas pandemik COVID yang memaksa pengurangan drastik jemaah.
Kehadiran jemaah musim ini dihadkan kepada satu juta orang termasuk 850,000 dari luar negara yang dipilih melalui kuota, yang akan bermalam di kem di Mina, tujuh kilometer dari Masjidil Haram di Mekah.
Pada awal hari ini, mereka berkumpul di Gunung Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya. Jemaah akan berada sepanjang hari di Padang Arafah untuk berdoa dan membaca Al-Quran.
Menurut tradisi Islam, di puncak bukit inilah Nabi Muhammad SAW menyampaikan pesanan atau khutbah terakhir baginda.
Meneruskan legasi baginda, tradisi bacaan khutbah ini diteruskan dan kini dikenali sebagai Khutbah Arafah.
Khutbah Arafah bagi musim haji kali ini akan disampaikan Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa, Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) di Masjid Namirah.
Khutbah yang akan dibacakan dalam bahasa Arab ini dijadual bersiaran secara langsung dari Arab Saudi pada 12:30 tengah hari waktu tempatan dengan terjemahan 14 bahasa lain, termasuk bahasa Melayu, Cina dan Tamil.
Selepas matahari terbenam, jemaah akan menuju ke Muzdalifah, separuh jalan antara Arafah dan Mina, untuk menyempurnakan ibadah melontar di tiga jamrah esok. – AFP/Bernama
