TOKYO, 19 JAN – Lebih 5,400 orang di Jepun meninggal dunia dalam tempoh 30 tahun lalu akibat tekanan dan keletihan serius disebabkan oleh proses pemindahan selepas gempa bumi dan bencana alam lain, lapor Kyodo News.
Sekurang-kurangnya 5,456 kematian berkaitan bencana telah dikenal pasti sejak kerajaan tempatan mula membuat penetapan itu selepas Gempa Bumi Besar Hanshin di barat Jepun pada 17 Januari 1995, termasuk kematian yang dikaitkan dengan gempa bumi di Semenanjung Noto tahun lepas.
Kerajaan Jepun menyeru agar keadaan di pusat pemindahan diperbaiki, memandangkan ramai mangsa bencana terpaksa berhimpit di gimnasium dan tidur di atas lantai.
Dalam kejadian gempa bumi besar di Wilayah Kumamoto pada 2016 dan di Semenanjung Noto, jumlah kematian berkaitan bencana melebihi jumlah kematian secara langsung seperti akibat runtuhan bangunan.
Jumlah sebenar kematian berkaitan bencana dipercayai lebih tinggi daripada yang didaftarkan, kerana keluarga perlu memohon untuk mendapat penetapan itu. – Bernama