Kecoh bakal berkahwin dengan kerabat diraja dalam masa terdekat, penyanyi Malaysia, Jeslina Hashim memilih untuk kekal tenang berdepan pelbagai spekulasi warganet berkait hubungannya dengan Tunku Eddy Nasruan Adil.
Menunggu masa sesuai untuk berkongsi berita gembira itu, Jeslina atau Nor Jeslina Hashim Khairuddin Mohd Hashim, 45, berkata dia enggan ambil pusing dengan sebarang komen ditinggalkan warganet di media sosial.
“Saya minta maaf, saya tidak ada sebarang komen mengenai hal ini (perkahwinan). Orang ramai boleh berfikir dan bercakap tentang apa yang mereka mahu.
“Mungkin satu hari nanti bila saya sudah bersedia, saya akan berkongsi kepada semua,” katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia ini turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kebahagiaannya.
“Terima kasih sangat kepada peminat yang mendoakan saya,” ujarnya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Jeslina bakal mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Negeri Sembilan iaitu Tunku Eddy Nasruan Adil selepas lapan tahun menjalin hubungan cinta.
Pada 1 November lalu, Tunku Eddy memuat naik sebuah hantaran meluahkan rasa bahagia bersama Jeslina dan memberitahu tarikh ulang tahun perhubungan mereka bakal bertukar pada tahun depan.
“Lapan tahun yang luar biasa, saya menikmati kegembiraan bersama Jeslina. Saya sayang awak. Inilah pengembaraan baharu kami.
“Kami perlu menukar tarikh ulang tahun kami tahun depan,” tulisnya. – Agensi