Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    JKED rampas barangan tegahan, 3 ditahan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui gerakan operasi Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang di kawasan Kampung Rimba dan Kampung Sungai Kebun, Daerah Brunei Muara serta pemeriksaan rutin di laluan masuk Pos Kawalan Sungai Tujoh telah berjaya melakukan rampasan barang-barang tegahan kastam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, di sini, hasil gerakan operasi pertama yang dijalankan di kawasan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Rimba pada 24 Januari, jabatan itu telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun atas kesalahan memiliki barang tegahan kastam.

    Barang-barang tegahan kastam berkenaan ialah 1,259 karton dan tujuh paket rokok pelbagai jenis, empat unit vape pelbagai jenis serta wang tunai berjumlah $4,438.17 dan SGD76.10 yang dipercayai hasil daripada aktiviti penjualan barang tegahan kastam.

    Sementara itu, hasil gerakan operasi kedua di kawasan Kampung Sungai Kebun pada 24 Januari, seorang perempuan warga tempatan berusia 43 tahun telah ditahan atas kesalahan memiliki 132 karton dan 471 paket rokok pelbagai jenis, 84 tin dan satu botol minuman keras pelbagai jenis serta dua unit vape pelbagai jenis.

    Manakala itu, hasil pemeriksaan rutin JKED di Pos Kawalan Sungai Tujoh pada 25 Januari, seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun ditahan atas kesalahan memiliki 335 karton, 30 paket dan 60 batang rokok pelbagai jenis serta 30 karton dan 48 tin minuman keras pelbagai jenis.

    Kesemua barang terbabit telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke pejabat penguatkuasaan undang-undang untuk siasatan lanjut. JKED menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan larangan kastam.

    Memiliki barang-barang tegahan kastam menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

    Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsi maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan kastam dengan menghubungi JKED di talian utama 8714422 dan 8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan. Pihak JKED memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

    Barangan tegahan yang disembunyikan di dalam kenderaan yang berjaya dikesan.- GAMBAR SERAHAN JKED
    Antara barangan tegahan kastam yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa. – GAMBAR SERAHAN JKED

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...