SAINT-QUENTIN-EN-YVELINES, Perancis, 28 Sept – Dustin Johnson dan Rickie Fowler menyumbang mata pertama buat Amerika Syarikat (AS) dalam saingan Piala Ryder dengan kemenangan 4 dan 2 ke atas Rory McIlroy dan bintang muda Eropah, Thorbjorn Olesen.
Kedua-dua pasangan bergelut untuk melakukan birdie di peringkat awal selepas tujuh lubang tetapi pemain AS merakam lima birdie di lubang kelapan sekali gus berkelebihan tiga pukulan.
Pemain Denmark, Olesen menyaksikan pukulan tee pertamanya dalam saingan Piala Ryder memasuki air tetapi menghabiskan hampir semua masanya untuk membantu juara major empat kali McIlroy yang gagal beraksi pada tahap prestasi sebenar apabila gagal melakukan sebarang birdie atau memenangi lubang.
McIlroy dan Olesen terlepas peluang bagi melakukan birdie di lubang ke-16.
Pasukan AS yang diketuai Jim Furyk dalam misi untuk mempertahankan trofi yang dimenangi mereka dan memenangi kejohanan itu yang berlangsung di Eropah buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun di Le Golf National.
“Tahap keserasian cukup baik. Kami banyak menjalani latihan bersama di sini atau di tempat sendiri,” kata Johnson yang juga pemain nombor satu dunia mengenai gandingannya bersama Fowler.
Pasukan yang memenangi mata pertama dalam kejohanan itu kebiasaannya akan muncul juara dengan peluang adalah 79 peratus sejak ia diadakan pada 1975. – AFP