Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Johor fokus bangunkan sains sukan

    ISKANDAR PUTERI, 1 OKT – Johor akan memfokus untuk membangunkan bidang sains sukan dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan prestasi para atlet terutama menjelang Sukan Malaysia (Sukma) yang bakal dianjurkan negeri itu tahun hadapan.

    Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Sheikh Umar Bagharib Ali berkata di negara-negara maju, sains sukan ini merupakan elemen penting dalam perkembangan sukan dengan menitikberatkan latihan yang tepat, nutrisi yang tepat dan pemulihan yang terbaik.

    “Dan kita di Johor menjadi pemacu sukan di peringkat negeri dan juga di rantau ini, jadi kita tidak dapat elak sains sukan ini daripada menjadi satu keperluan.

    “Selepas Sukma pun, saya ingat untuk pembangunan atlet-atlet dan juga dalam usaha nak  jadikan rantau kita ini dan Johor untuk ke depan, sains sukan ini kita tak dapat tinggalkan,” kata beliau kepada pemberita ketika lawatan ke Pusat Latihan (Sains Sukan) dan asrama Atlet Kontinjen bagi Sukma 2020 di Lima Kedai, di sini, pada Isnin.

    Pusat Sains Sukan pertama negeri itu yang terletak di Iskandar Malaysia telah berjaya memberi manfaat kepada lebih 630 atlet sejak di buka pada November 2018 dengan 26 persatuan sukan termasuk basikal, silat dan memanah, mendapatkan perkhidmatan di pusat berkenaan.

    Menurut Sheikh Umar, pusat berkenaan terbahagi kepada dua elemen iaitu The Cage, yang memberi fokus pembangunan fizikal atlet manakala Cage Recovery Centre pula menumpukan kepada aspek nutrisi, psikologi dan rehabilitasi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda