KUALA LUMPUR, 8 FEB – Pasukan Hoki Terengganu (THT) optimis kehadiran pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun mampu meningkatkan peluang mereka menjaringkan lebih banyak gol daripada situasi tersebut pada musim baharu Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023.
Ketua pasukan, Mohd Fitri Saari yakin kelibat Jonghyun yang menyumbat empat gol pukulan sudut penalti pada Piala Dunia 2023 di India, bulan lepas, bersama dua lagi pemain muda dari Korea Selatan iaitu Choi Hoil dan Yoo Seung Ho juga dapat membantu memperkukuhkan kedudukan THT bagi mengejar kejuaraan berganda musim 2023 yang membuka tirai esok.
Walaupun menyasarkan untuk mempertahankan mahkota kejuaraan MHL selain Piala Sumbangsih, Mohd Fitri tetap berwaspada dengan ancaman pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dibarisi kira-kira sembilan pemain kebangsaan selain Maybank.
Mengenai pertarungan Piala Sumbangsih menentang TNB esok, pengendali baharu THT, Seo Jongho menyifatkan juara bertahan Piala TNB memiliki beberapa pemain yang laju dan mampu mengucar-ngacirkan barisan pertahanan mereka.
Dalam pada itu, ketua jurulatih TNB Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui perlu mencari jalan untuk menyekat kemaraan Jonghyun serta penyerang prolifik Mohd Faizal Saari dan Shello Silverius daripada merobek gawang mereka dalam pertarungan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Ketua jurulatih KPT-Uniten Thunder Izzwan Mohamed Salleh pula berharap dapat mencapai misi memenangi dua piala tahun ini iaitu dengan menumpaskan Negeri Sembilan bagi menjulang Piala Sumbangsih selain mempertahankan Piala Vivian May Soar buat kali keempat berturut-turut dalam musim baharu nanti. – Bernama
