Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Fitri kembali bersama Speedy Tigers

    KUALA LUMPUR, 28 MAC – Pemain tengah, Mohammad Fitri Saari yang kembali menyertai latihan skuad hoki lelaki kebangsaan tidak mahu mensia-siakan peluang kedua itu.

    Pemain berusia 30 tahun itu yang teruja dapat kembali berlatih bersama skuad Speedy Tigers mahu memastikan prestasinya pada tahap terbaik untuk terus berada dalam pasukan.

    Mohammad Fitri berkata hasratnya adalah untuk beraksi bersama skuad kendalian A. Arul Selvaraj di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan muncul juara di Sukan Asia Hangzhou bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.

    “Saya tak nak sia-siakan peluang kedua ini. Saya teruja untuk berlatih semula sebab saya tak nak terlepas kejohanan bersama pasukan kebangsaan kerana impian saya nak ke Olimpik.

    “Sasaran saya adalah pingat emas Sukan Asia kerana kalau melalui pusingan kelayakan, agak susah untuk ke Olimpik,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

    Mohammad Fitri, yang diketepikan daripada skuad kebangsaan sejak awal 2020, kembali menyertai latihan skuad Speedy Tigers semalam, yang diadakan pada waktu malam ketika Ramadan.

    Ia merupakan sesi latihan pertama pasukan kebangsaan selepas saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2023 yang berlangsung dari 9 Februari hingga 18 Mac.

    Mohammad Fitri yang juga kapten pasukan Terengganu Hockey Team (THT), kembali disenaraikan dalam senarai pelatih skuad kebangsaan berikutan prestasi cemerlangnya membantu pasukan Pantai Timur itu meraih gelaran treble LHM. – Bernama

    Aksi Mohd Fitri Saari bersama skuad kebangsaan, ketika menentang New Zealand di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. – ANN/TheStar.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...