Saturday, May 4, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Kemenangan Malaysia tidak cukup

    KUALA LUMPUR, 8 JAN – Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengakui kemenangan tipis 1-0 ke atas Thailand pada aksi separuh akhir pertama malam ini, tidak mencukupi untuk mengukuhkan peluang ke final Piala Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

    Menyedari aksi sengit menanti skuad Harimau Malaya pada separuh akhir masa kedua di Stadium Thammasat, hari Selasa ini, Pan Gon yakin anak buahnya kekal tenang dan terus berjuang bagi memastikan mereka tidak tersingkir.

    “Kemenangan 1-0 jelas tidak mencukupi apatah lagi beraksi di laman sendiri tapi saya tetap gembira dengan keputusan malam ini.

    “Ia satu perlawanan sukar kerana Thailand adalah pasukan kuat. Kita cuba memberi tekanan kepada mereka tapi ia tidak mudah,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam ini.

    Bagaimanapun, Pan Gon berasa lega kerana pasukan kebangsaan tidak dibolosi pada aksi malam ini selepas pemain sayap lincah negara, Mohamad Faisal Abdul Halim membuka jaringan pada minit ke-11.

    Reaksi pemain Malaysia selepas menewaskan Thailand semasa perlawanan bola sepak separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur. – AFP

    “Kita mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, keputusan sepatutnya berpihak kepada kita 3-0 namun pasukan lawan juga mempunyai banyak peluang mendapatkan gol. Cuma para pemain adalah manusia dan melakukan kesalahan. Saya harap para pemain dapat pulih dengan cepat,” katanya.

    Mengenai gol hasil tandukan Dominic Tan pada minit ke-55 dinafikan oleh pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Pan Gon berkata, “Saya tidak nampak (insiden) itu dengan jelas, saya tidak boleh kata apa-apa.”

    Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking kecewa dengan kekalahan dialami anak buahnya biarpun mereka mendominasi perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

    “Sebagai jurulatih, saya tidak suka kekalahan sebegini tapi ini adalah bola sepak dan kalah adalah sebahagian daripada permainan. Saya tidak pernah menyangka Thailand boleh mendominasi permainan kerana Malaysia berbeza sama sekali di peringkat kumpulan,” katanya.

    Pada masa sama, beliau yakin mampu mengubah keputusan apabila menerima kunjungan Malaysia di laman sendiri pada hari Selasa.

    “Ia keputusan baik buat Malaysia dengan penyokong yang hebat tapi kami juga mempunyai peminat hebat dan saya pasti mereka akan mendorong pemain untuk menjaringkan gol,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...