Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Jongkong emas bernilai RM585j dijual hasil perlombongan di Tawau

    KOTA KINABALU, 23 APRIL – Sejumlah 2,300 kilogram (kg) jongkong emas bernilai RM585 juta telah dijual hasil perlombongan emas di Bukit Mantri, Tawau yang mula beroperasi pada 2018, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

    Pembantu Menteri kepada Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata Kerajaan Sabah juga telah menerima lima peratus royalti ke atas hasil jualan emas mentah berjumlah RM23.96 juta daripada lombong emas berkeluasan 317.7 hektar itu.

    “Kerajaan Sabah belum mengenakan cukai jualan negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga tidak mengenakan duti eksport ke atas emas yang dibawa keluar dari Sabah ke Semenanjung Malaysia,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Yong Teck Lee (Dilantik) mengenai cukai jualan dan cukai eksport yang dikenakan bagi emas yang dibawa keluar dari Sabah.

    Dalam pada itu Julita berkata bagi memastikan kutipan hasil yang optimum, kerajaan negeri dengan kolaborasi Pejabat Hasil Bumi (SUHB), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Sabah Mineral Mangement Sdn Bhd (SMM), Jabatan Mineral dan Geosains serta JKDM akan menambah baik proses perlombongan dan peleburan emas menjadi lebih telus dan efektif.

    Beliau berkata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah melantik Pengarah JTU sebagai Ketua Merinyu Galian selaras dengan Seksyen 2, Ordinan Perlombongan Sabah 1960 bermula pada 1 Jan 2023 untuk mentadbir Sistem Pentadbiran Mineral di Sabah dan mengawal selia operasi perlombongan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...