Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPA sambut jubli emas

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meraikan ulang tahunnya yang ke-50 dengan majlis sambutan jubli emas yang berlangsung di Bangunan JPA, Jalan Kumbang Pasang, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

    Turut hadir ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pengiran Dato Paduka Haji Abu Bakar bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail; Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Dato Paduka Haji Matassan bin Haji Mohd Daud; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di JPM, mantan ketua-ketua pengarah perkhidmatan awam dan pengarah-pengarah pentadbiran di kementerian-kementerian kerajaan.

    Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan bahawa majlis berkenaan diadakan untuk mengimbas kembali segala sumbangan dan pencapaian yang telah dicapai oleh jabatan berkenaan di sepanjang tempoh 50 tahun penubuhannya.

    “JPA selaku agensi peneraju dan jentera penggerak perkhidmatan awam akan terus memainkan peranan yang aktif dan berusaha untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dalam pengurusan, perancangan dan pembangunan sumber manusia yang mampan yang dapat memberikan impak positif kepada agensi-agensi kerajaan dan seluruh warga perkhidmatan awam di negara ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa melancarkan Galeri 50 Tahun Jubli Emas JPA pada majlis tersebut.
    Antara kakitangan kerajaan yang hadir pada majlis tersebut.

    Beliau turut mengongsikan beberapa aktiviti yang telah disusun sempena Sambutan Jubli Emas JPA pada kali ini termasuklah Pelancaran Galeri 50 Tahun Jubli Emas JPA.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dalam ucapannya pula antara lain menyatakan bahawa JPA memainkan peranan yang amat penting dalam dua aspek iaitu berperanan sebagai agensi utama dalam perancangan, pengurusan dan pembangunan sumber manusia dalam perkhidmatan awam dan sebagai jentera penggerak kerajaan dalam membangun negara bagi kesejahteraan rakyat sepertimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-26 pada 12 November 2019.

    “JPA telah diberi mandat untuk memastikan semua penjawat awam dilengkapkan dengan kemahiran dan ciri-ciri Rukun Akhlak dan Etika Kerja Perkhidmatan Awam agar dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pihak-pihak yang berkepentingan.

    “Di samping itu, JPA juga merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang menjadi tonggak kerajaan.

    Majlis kemudiannya menyaksikan pelancaran Sambutan Jubli Emas JPA yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan menyaksikan video khas Jubli Emas mengenai penubuhan JPA, nyanyian koir lagu khas Jubli Emas JPA dan penyampaian penghargaan Anugerah Pekerja Cemerlang JPA Tahun 2020, Anugerah Penghargaan Khas JPA Tahun 2020 dan Pegawai Bersara Tahun 2021.

    Tetamu kehormat majlis seterusnya juga berkesudian melancarkan serta dibawa melawat Galeri 50 Tahun Penubuhan JPA. Sejurus selepas itu, beliau juga melancarkan Hari Pelanggan JPA yang dibukakan kepada orang ramai sehingga 5 Julai depan di Lobi JPA.

    Sambutan Jubli Emas JPA juga dimeriahkan lagi dengan acara penanaman pokok dan kapsul masa oleh tetamu kehormat majlis sebagai tanda kenang-kenangan yang mana kapsul masa akan dibuka selepas 10 tahun.

    Bersempena dengan sambutan jubli emas itu, JPA juga akan mengadakan taklimat bagi pegawai dan kakitangan yang mengendalikan hal ehwal pentadbiran dan sumber manusia yang bakal diadakan pada pagi 5 Julai depan di Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda