Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan EV Norway catat rekod baharu dunia

    OSLO, 2 SEPT – Jualan kereta elektrik (EV) di Norway menguasai 94 peratus bahagian pasaran pada Ogos – rekod dunia baharu – menurut statistik hari ini, ketika jualan di seluruh Eropah terbantut.

    Dirangsang oleh Model Y Tesla, yang menyumbang 18.8 peratus daripada jualan, termasuk Kona Hyundai dan Nissan Leaf, EV itu telah membentuk 94.3 peratus daripada pendaftaran kereta baharu, kata Persekutuan Jalan Norway (OFV).

    Warga Norway membeli 10,480 buah EV baharu Ogos lalu, membawa jumlah keseluruhan kepada 68,435 sejak awal tahun ini.

    Di tempat lain di Eropah, harga tinggi dan infrastruktur yang tidak mencukupi telah menghambat jualan EV, manakala jualan model hibrid, yang menggabungkan enjin bahan api fosil dengan bateri elektrik, telah meningkat.

    Negara Scandinavia itu, pengeluar minyak dan gas utama, telah menetapkan sasaran untuk menjual kenderaan sifar pelepasan karbon sahaja menjelang 2025, 10 tahun lebih awal daripada matlamat Kesatuan Eropah.

    Negara itu menawarkan faedah cukai yang besar menjadikan harga model EV amat kompetitif.

    “Tiada negara di dunia yang mampu bersaing dengan Norway dalam EV,” kata pengarah OFV, Oyvind Solberg Thorsen dalam satu kenyataan.

    “Jika trend ini berterusan, kami akan mencapai matlamat 100 peratus pelepasan sifar karbon pada 2025,” katanya. – AFP

    Gambar bertarikh 30 April 2019 menunjukkan kereta elektrik sedang dicas di sebatang jalan di Oslo, Norway. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda