Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juara BRTM2024 akan pindah KL kalau dapat izin keluarga

    Juara Bintang RTM 2024 (BRTM2024) Roxy Ixzy hanya akan mengembangkan karier seninya di Kuala Lumpur sekiranya mendapat keizinan keluarga.

    Tidak hanya itu, Roxy atau Roziena Ixzy, 25, perlu mempertimbangkan karier sebagai penyanyi Bidayuh di negeri kelahirannya Kuching, Sarawak yang sudah stabil sebelum ini.

    “Jika mendapat keizinan keluarga, mungkin saya akan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan karier nyanyian.

    “Saya juga merupakan penyanyi Bidayuh di Sarawak dan perlu mendapat persetujuan rakan-rakan seperjuangan di sana jika mahu ke Kuala Lumpur,” katanya kepada mStar.

    Roxy berkongsi perkara itu selepas ditemui pada BRTM2024 yang berlangsung di Auditorium Sri Angkasa, Angkasapuri Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

    Roxy pada Konsert Akhir Bintang RTM di Auditorium Seri Angkasa Kota Media Kuala Lumpur baru-baru ini. – Bernama

    Dalam pada itu, Roxy memberitahu dia mahu tampil dengan genre R&B jika diberi peluang merakamkan single atau album.

    Menyedari ia kurang mendapat perhatian dalam kalangan pendengar, Roxy bagaimanapun optimis dapat mempopularkan kembali genre tersebut dengan kemampuan dan cara tersendiri.

    “Ada juga rasa bimbang sebab R&B ini kurang diterima di Malaysia namun saya mahu jadi diri sendiri dan BRTM2024 sudah nampak bakat saya sebagai penyanyi.

    “Kalau boleh, saya nak hidupkan semula R&B dan rasanya tidak perlu beralih kepada genre lain semata-mata mendapatkan perhatian pendengar,” jelasnya.

    Kongsinya lagi, penglibatan dalam program berkenaan membuktikan seorang penyanyi yang baik tidak hanya dinilai berdasarkan kemampuan menyanyikan lagu bernada tinggi.

    “Sebelum ini, saya banyak menyertai pertandingan kecil di peringkat negeri dan kebanyakan yang bergelar juara adalah penyanyi memiliki suara nada tinggi.

    “Sepanjang penyertaan dalam BRTM2024 telah menambah keyakinan dengan suara sendiri. Peminat dan juri menghargai suara saya miliki meskipun bukan bernada tinggi.

    “Saya juga tidak sangka akan menang pertandingan ini kerana semua peserta memberikan persembahan terbaik,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda