SYDNEY, 13 DIS – Pengembara di Australia diingatkan untuk menjangkakan kelewatan penerbangan hari ini selepas ratusan jurutera Qantas di seluruh negara melancarkan mogok berhubung pertikaian gaji dengan syarikat penerbangan itu, lapor Xinhua.
Kira-kira 500 jurutera di lima lapangan terbang paling sibuk di Australia iaitu Sydney, Melbourne, Brisbane, Adelaide dan Perth mula meninggalkan tugas pada 3:30 pagi waktu tempatan hari ini dan dijangka kembali bekerja pada 7:30 pagi esok.
Mogok berlaku selepas rundingan gaji antara Qantas dan beberapa kesatuan pekerja yang mewakili jurutera gagal mencapai persetujuan.
Menurut kesatuan pekerja, tindakan mogok ini berkemungkinan memberi kesan segera kepada jadual penerbangan di kelima-lima lapangan terbang terbabit.
Namun, jurucakap Qantas memaklumkan bahawa syarikat penerbangan itu telah menyediakan beberapa pelan kontingensi untuk mengelakkan kelewatan.
Para jurutera menuntut kenaikan gaji 15 peratus dengan kadar segera, disusuli peningkatan tahunan sebanyak lima peratus.Sebaliknya, Qantas hanya menawarkan kenaikan tiga peratus setahun untuk tempoh tiga tahun. – Bernama