Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    JWC: Young Tigers tagih sokongan ‘pemain ke-12’

    KUALA LUMPUR, 30 NOV – Skuad hoki remaja kebangsaan Malaysia menaruh harapan tinggi terhadap penyokong tempatan untuk menjadi ‘pemain ke-12’ bagi menyuntik semangat mereka dalam mengharungi cabaran Piala Dunia Remaja (JWC) lelaki pada 5 hingga 16 Disember ini.

    Kapten skuad Young Tigers, Muhamad Faris Harizan berkata, dengan kehadiran penyokong di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dapat membantu meredakan tekanan dihadapi berdepan pasukan terbaik dunia dalam usaha mereka untuk melangkah lebih jauh.

    “Kita sudah bersedia sepenuhnya dan berada dalam keadaan cergas. Sudah semestinya cabaran besar kerana semua pasukan hadir dengan pemain terbaik mereka dan akan beri saingan sengit kepada kami,” katanya yang baru pulih daripada kecederaan pangkal paha.

    “Namun, dengan kelebihan beraksi di laman sendiri dan ‘pemain ke-12’ yang beri sokongan dan semangat, insya-Allah kita akan tampil dengan prestasi terbaik dan beri segalanya di atas padang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

    Pemain pertahanan dan ‘pakar’ pukulan sudut penalti skuad muda negara itu yang membuat penampilan kali kedua di pentas JWC berkata beliau bersedia menjadi ‘abang’ untuk membimbing pemain muda lain dalam pasukan.

    Pemain Malaysia Faris Harizan beraksi semasa Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC). – Bernama

    Menurut Muhamad Faris, daripada 18 pemain yang disenaraikan, hanya tiga pemain pernah beraksi pada edisi di Bhubaneswar, India, dua tahun lepas.

    “Sebagai ketua pasukan, saya akan guna pengalaman saya untuk bimbing pemain baharu. Sebagai pemain di barisan pertahanan, saya dapat melihat keseluruhan pasukan (untuk segera menegur dan beri tunjuk ajar.)

    “Lapan belas pemain dipilih ini adalah yang terbaik, bersedia untuk hadapi cabaran JWC. Kita telah menganalisis kelemahan dikenal pasti ketika Piala Sultan Johor (SOJC) baru-baru ini, dan sedang berusaha untuk mengatasinya sebelum JWC,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

    Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan membuka kempen menentang Chile pada 5 Disember ini (Selasa), diikuti juara bertahan Argentina pada Rabu (6 Disember) dan menutup peringkat kumpulan menentang juara 1997 Australia pada 8 Disember.

    Pencapaian terbaik Malaysia pada JWC adalah meraih tempat keempat pada edisi sulung 1979, serta 1982 dan 2013, manakala pada edisi lepas, skuad negara tersingkir pada suku akhir selepas tewas 0-4 kepada Perancis. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...