Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, kadar purata kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 186 kes sehari, berbanding dengan kadar pada minggu sebelumnya iaitu 201 kes sehari.
Sebanyak 18,501 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 7 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.
Demikian telah dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan dalam Siaran Akhbar COVID-19 Negara Brunei Darussalam yang dikeluarkan pada hari ini.
Menurut Kementerian Kesihatan, pada hari ini, tidak ada kes di dalam kategori 5 yakni yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) dan dua kes di dalam kategori 4 yakni yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.
Manakala sehingga kelmarin (2 April), kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 79.2 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 12.1 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.
Selain itu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya turut mengongsikan bahawa sebanyak 176 kes baharu telah dilaporkan pada hari ini, iaitu kesemua kes yang dikesan adalah daripada hasil ujian ART dan tidak ada kes telah dikesan dari ujian-ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P4-1A-WEB_04042023.jpg)