Pelakon sensasi, Fattah Amin menjelaskan kemunculannya bersama Amira Othman dengan berpakaian sedondon pada majlis pengumuman Duta Jakel 2025, kelmarin, sekadar memenuhi tuntutan pelanggan.
Pelakon yang kini digelar Duda Hot oleh peminat itu berkata, dia tiada masalah digandingkan dengan Amira sekiranya mampu memberi impak kepada dirinya, Amira dan pelanggan, lapor BH Online.
“Ini adalah rezeki dan kepercayaan diberikan oleh klien. Macam saya cakap sebelum ini, kita sama-sama membantu.
“Jakel ambil kami sebagai wajah baharu mereka, jadi kami bantu untuk mempromosi. Bila Jakel bersetuju menggandingkan saya dan Amira, itu juga membantu promosi.
“Jadi, saya fikir tiada masalah jika memberi kesan dan saling membantu.
“Saya rasa tiada masalah jika ada lagi tawaran membabitkan kami. Bila diberi peluang dan kepercayaan, saya mahu penuhi kepercayaan ini,” katanya ditemui pada sidang media pengumuman Duta Jakel 2025 di Jakel Mall, kelmarin. – Agensi