Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak kembali ke sekolah di Norway

    OSLO, 27 APRIL – Norway, yang berkata ia berjaya mengawal wabak koronavirus baharu, membuka semula sekolah rendah kepada pelajar paling muda hari ini, dalam satu lagi langkah untuk mengembalikan semula keadaan normal, walaupun sesetengah ibu bapa meluahkan kebimbangan mereka.

    Seminggu selepas sekolah tadika, murid-murid berusia enam hingga 10 tahun mula kembali ke bilik darjah selepas pembelajaran dalam talian selama enam minggu di rumah di negara itu.

    Bagaimanapun kelas dihadkan kepada 15 pelajar maksimum.

    Di sekolah Levre di pinggir bandar Baerum di luar Oslo, kanak-kanak datang ke sekolah dalam hujan.

    Di luar bangunan, bunga dicat di atas tanah menandakan garis panduan penjarakan sosial perlu dipatuhi, salah satu peringatan tentang risiko yang ditimbulkan oleh penyakit itu.

    Tilde, 7, berasa tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan kawan dan gurunya pada pukul 9 pagi.

    “Dia sudah bersedia pada pukul 6 pagi ini, tiga jam lebih awal. Dia amat teruja untuk kembali ke sekolah. Tidak adanya jam loceng, kami tidak memerlukannya,” beritahu ibunya Karine Rabbe kepada AFP.

    Norway mula membatalkan sekatan yang dikenakan pada 12 Mac untuk mengekang penularan koronavirus.

    Namun banyak sekatan lain masih dikuatkuasakan, seperti pengharaman ke atas acara sukan dan kebudayaan. Semalam, Norway telah melaporkan 7,505 kes koronavirus disahkan dan 193 kematian, sementara lengkung kes hospital telah berkurangan mendadak dalam beberapa minggu ini. – AFP

    Murid-murid berkumpul di perkarangan sekolah Vikasen di Trondheim, Norway, selepas sekolah dibuka semula kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda