Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Kapal bantuan Australia berlabuh di Tonga

    NUKU’ALOFA, 26 JAN – Sebuah kapal perang Australia yang membawa penumpang dijangkiti COVID-19 akan berlabuh di Tonga hari ini, menghantar bantuan yang sangat diperlukan ke negara yang dilanda bencana letupan gunung berapi dan tsunami dengan protokol ketat ‘tidak bersentuhan’.

    Menteri Kesihatan Tonga, Saia Piukala berkata kru HMAS Adelaide akan mematuhi peraturan kesihatan bagi memastikan negara di Pasifik itu kekal menjadi beberapa buah tempat di dunia yang masih bebas daripada koronavirus.

    “Kapal akan berlabuh dan penghantaran dibuat secara tidak bersentuhan. Warga Australia dari kapal akan memunggah kargo mereka dan berlepas dari pelabuhan,” ujarnya kepada wartawan.

    Adelaide dikerah sebagai sebahagian daripada usaha bantuan antarabangsa selepas kejadian yang berlaku pada 15 Januari mencetuskan tsunami besar dan menyeliputi negara itu dengan debu toksin.

    Kapal tersebut membawa kira-kira 80 tan bekalan bantuan, termasuk air, kit perubatan dan kelengkapan kejuruteraan.

    Gambar bertarikh 20 Januari 2022, menunjukkan anggota tentera mengisi bekalan ke HMAS Adelaide sebelum berlepas ke Tonga. Kapal tersebut akan berlabuh di Tonga selepas negara itu menerima bencana.- Rencana

    Walaupun kesemua kru diuji negatif sebelum berlepas dari Brisbane, pegawai di Canberra kelmarin berkata 23 kes COVID-19 telah di kesan di atas kapal.

    Piukala berkata jumlah telah meningkat kepada 29 hari ini.

    Kapal berkenaan membawa kru yang lengkap divaksinasi dan pasukan pertahanan Australia berkata kelmarin bahawa 23 pesakit terdahulu tidak menunjukkan sebarang gejala dan hanya kesan ringan.

    Piukala berkata protokol tanpa bersentuhan yang digunakan ke atas semua bantuan menyelamat, termasuk HMAS Adelaide, bermakna kesemua barangan yang dipunggah dari pesawat negara luar atau kapal dibiarkan diasingkan selama tiga hari sebelum pihak Tonga mengambil bantuan.

    Tonga menutup sempadannya pada awal 2020 ketika pandemik menular di seluruh dunia.- AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...