Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Kapal pelayaran Oceania Insignia singgah di Brunei

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar Jab. Kemajuan Pelancongan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan ketibaan sebuah lagi kapal pelayaran antarabangsa, Oceania Insignia, yang berlabuh di Pusat Kapal Pelayaran, Pelabuhan Muara, hari ini.

    Kapal Oceania Insignia merupakan kapal pelayaran ketiga yang singgah dan berlabuh di negara ini selepas kapal pelayaran sebelumnya iaitu Seven Seas Mariner pada 5 Mac lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, kapal Oceania Insignia berlepas dari pelabuhan asalnya di Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS) membawa seramai 554 orang penumpang.

    Semasa berada di Brunei, sebilangan penumpang kapal berkenaan telah menyertai lawatan eksklusif ke beberapa tempat menarik di Brunei Darussalam seperti Tamu Kianggeh, Kampong Ayer, Muzium Alat Kebesaran Diraja, Pusat Membeli-belah Yayasan dan Jame’ Asr Hassanil Bolkiah.

    Pada masa yang sama, terdapat juga sebilangan penumpang yang berkunjung ke Pusat Kapal Pelayaran untuk menikmati produk dan kraf tangan tempatan yang ditawarkan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

    Kapal Oceania Insignia membawa 554 orang penumpang dari Miami, Florida.
    Sebilangan penumpang kapal mengambil kesempatan menyertai lawatan eksklusif semasa berada di negara ini.
    Penumpang kapal dibawa melawat ke Tamu Kianggeh.

    Semasa lawatan berkenaan, beberapa orang penumpang telah menceritakan pengalaman mereka ketika melawat ke tempat-tempat menarik di Brunei.

    Salah seorang penumpang, Kevin dari California, AS mengongsi maklum balas positifnya selepas melawat ke Kampong Ayer, Kompleks Membeli-belah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Muzium Alat Kebesaran Diraja.

    Beliau menganggap lawatan pendeknya merupakan satu pengalaman yang menarik setelah berpeluang untuk mempelajari mengenai budaya dan warisan menawan Brunei Darussalam.

    Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa layanan mesra warga tempatan yang ditemuinya amat menarik perhatiannya dan beliau menaruh harapan untuk mengadakan lawatan lagi pada masa akan datang.

    Sementara itu, seorang lagi penumpang, Margo Hampton dari AS telah mengongsi pengalaman unik ketika berpeluang mencuba makanan tempatan di Kampong Ayer.

    Beliau juga merasa amat teruja untuk menyaksikan alat kebesaran diraja yang dipamerkan di Muzium Alat Kebesaran Diraja dan amat ingin untuk melawat muzium-muzium lain bagi mempelajari dengan lebih dekat mengenai budaya Brunei.

    Jabatan Kemajuan Pelancongan berharap dengan ketibaan berterusan kapal-kapal pelayaran antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan dapat menempatkannya sebagai sebuah destinasi yang mesti dikunjungi kerana kekayaan warisan budaya, kulinari lazat dan hutan yang subur.

    Negara bakal mengalu-alukan ketibaan tiga lagi kapal pelayaran pada 2023 dengan kapal pelayaran yang seterusnya, Norwegian Jewel dijangka akan memasuki perairan Brunei pada 6 November nanti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...